Mais sumbang 17 lembu korban bersama agensi, anak syarikat

3 Jul 2023 • 12:06 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

SHAH ALAM, 3 JULAI: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) bersama agensi dan anak syarikat menyumbang 17 ekor lembu bagi menjalani ibadah korban sempena Aidiladha.

Mais memaklumkan, program yang dianjur Sabtu lalu itu diadakan bagi mengeratkan ukhwah serta menyubur semangat kerja berpasukan.

“Program ibadah korban bukan sahaja dapat mengeratkan ukhwah, malah menyuburkan semangat kerja berpasukan dan gotong-royong dalam kalangan umat Islam.

“Ia juga secara tidak langsung dapat mengeratkan hubungan silaturahim antara warga kerja di Bangunan Sultan Idris Shah (BSIS),” katanya menerusi Facebook.

image is not available

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof (kiri) menyerahkan daging korban kepada warga kerja agensi terlibat dalam program yang diadakan pada 1 Julai 2023. Foto Facebook Majlis Agama Islam Selangor

Antara agensi yang terlibat adalah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Jabatan Mufti Negeri Selangor, Jabatan Kehakiman Syariah Selangor dan Jabatan Pendakwaan Syariah Selangor.

Turut hadir Pengerusi Mais Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof bersama barisan pentadbiran agensi.

Menurut Mais, semua daging diagih kepada golongan asnaf dan fakir, selain warga kerja agensi terlibat.