MAIWP sedia RM5 juta bantu mangsa banjir di seluruh negara

LocalPolitics
30 Nov 2024 • 11:24 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Mohd Na'im bercakap pada sidang media Majlis Karnival Year End Zakat (YEZ) X Pasar Saloma di Tapak Bazar Ramadan Presint 3 Putrajaya hari ini. Foto Bernama

PUTRAJAYA - Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menyediakan peruntukan RM5 juta bagi membantu mangsa banjir di seluruh negara, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.

Beliau berkata, sumbangan peringkat awal itu akan disalurkan kepada Tabung Musaadah Jabatan Kemajuan Islam (Jakim)/Yayasan Waqaf Malaysia serta majlis agama Islam negeri-negeri yang terkesan banjir.

Dalam perkembangan sama, beliau menyeru umat Islam di Malaysia untuk segera menunaikan zakat bagi membolehkan bantuan berterusan disalurkan kepada golongan memerlukan, terutama mereka yang terkesan banjir.

Beliau berkata, pembayaran zakat dengan lebih awal membolehkan lembaga-lembaga zakat seperti Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) merancang penyaluran bantuan bagi menghadapi musibah yang tidak dijangka.

"Bayaran zakat lebih awal, tanpa menunggu sehingga ke akhir tahun, akan membolehkan lembaga zakat melaksanakan tanggungjawab mengagihkan zakat kepada golongan yang memerlukan,"

"Lebih awal kita bayar zakat, lebih ramai orang yang memerlukan dapat bantuan. Insya-Allah," katanya kepada pemberita pada Karnival Year End Zakat x Pasar Saloma di sini malam ini.

Setakat 8 malam tadi, 146,611 mangsa banjir direkodkan ditempatkan di pusat pemindahan sementara di lapan negeri. - Bernama