liza28/10/2026 - 14:40 Gambar BERNAMA Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 28 Okt – Majikan tidak boleh sewenang-wenangnya menurunkan syarat kelayakan pendidikan bagi sesuatu jawatan semata-mata untuk mengelakkan pembayaran gaji permulaan yang ditetapkan kepada graduan, menerusi cadangan pindaan Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta 732).
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan berkata pindaan itu akan memasukkan tahap kelayakan pendidikan sebagai asas bagi membolehkan gaji permulaan minimum wajib untuk graduan ditetapkan pada masa hadapan.
“Apabila elemen kelayakan pendidikan dimasukkan dalam akta berkenaan, majikan tidak boleh sewenang-wenangnya mengabaikan kelayakan pekerja ketika menentukan jawatan mereka,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Wan Razali Wan Nor (PN-Kuantan) pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Wan Razali membangkitkan kebimbangan kemungkinan majikan menurunkan syarat kelayakan sesuatu jawatan daripada peringkat ijazah kepada diploma atau Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi mengelakkan pembayaran gaji permulaan yang ditetapkan kepada graduan.
Gaji permulaan RM2,500 mulai Jun 2027
Dalam perkembangan berkaitan, Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) sedang mengemas kini garis panduan gaji permulaan asas berdasarkan Pengelasan Standard Pekerjaan Malaysia (MASCO).
Garis panduan itu akan diterbitkan bersama Perintah Gaji Minimum baharu yang dijadualkan berkuat kuasa pada Jun 2027.
Belanjawan 2027 sebelum ini mengumumkan gaji permulaan asas sebanyak RM2,500 sebulan bagi graduan dan pekerja separa mahir.
Latihan disesuaikan dengan keperluan industri
Dalam pada itu, Khairul Firdaus berkata Jabatan Tenaga Manusia menilai keberkesanan program latihan berdasarkan keperluan industri, standard kurikulum, latihan praktikal dan latihan di tempat kerja.
Penilaian itu turut mengambil kira pembangunan kemahiran dalam teknologi baharu serta keupayaan pekerja menyesuaikan diri dengan perubahan fungsi pekerjaan.
Beliau berkata, jabatan berkenaan turut menggunakan lebih 2,000 Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan sebagai asas pembangunan kurikulum latihan.
Pelaksanaan latihan itu juga melibatkan pemain industri bagi memastikan program yang ditawarkan selaras dengan keperluan pasaran buruh. - DagangNews.com






