Majikan tidak boleh turunkan kelayakan jawatan elak gaji graduan - Kesuma

LocalBusiness & Finance
28 Oct 2026 • 2:28 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Majikan tidak boleh turunkan kelayakan jawatan elak gaji graduan - Kesuma
Khairul Firdaus

KUALA LUMPUR - Majikan tidak boleh sewenang-wenangnya menurunkan klasifikasi atau kelayakan jawatan bagi mengelak membayar gaji permulaan yang ditetapkan untuk graduan sekiranya pindaan Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta 732) dilaksanakan.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, pindaan itu kelak akan memasukkan elemen kelayakan pendidikan bagi membolehkan penetapan gaji minimum graduan diwajibkan pada masa hadapan.

"Apabila elemen ini dimasukkan, majikan tidak boleh dengan senang menidakkan jawatan berdasarkan kelulusan (kelayakan) pekerja.

"Secara keseluruhannya, matlamat Kesuma (Kementerian Sumber Manusia) adalah untuk membangunkan struktur gaji yang lebih jelas berdasarkan kelayakan dan kemahiran," katanya ketika Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Rabu.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, laporan Statistik Siswazah oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) merekodkan kadar guna tenaga tidak penuh siswazah berkaitan kemahiran menunjukkan penurunan daripada 32.4 peratus pada tahun 2023 kepada 32.2 peratus pada tahun 2024.

Justeru beliau menegaskan, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) perlu mengambil pendekatan untuk meningkatkan produktiviti, pendigitalan, automasi dan pembangunan kemahiran pekerja.

"Kerajaan menyasarkan kadar guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran ini berkurang kepada 30 peratus menjelang 2030.

"Dalam menyokong hasrat tersebut, kementerian secara berterusan melaksanakan strategi intervensi jangka pendek dan panjang bagi memastikan pasaran buruh dapat diimbangi dengan kelayakan dan kemahiran pencari kerja, sekali gus mendapat pekerjaan sesuai dengan bidang kepakaran serta permintaan pasaran pekerjaan semasa," ujarnya.

Sementara itu menjawab soalan tambahan Syerleena Abdul Rashid (PH-Bukit Bendera) mengenai tarikh pindaan Akta 732 akan dibentangkan, Khirul Firdaus menjelaskan, Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) sedang mengemas kini garis panduan gaji pokok permulaan berdasarkan Kerangka Pengelasan Pekerjaan Malaysia (MASCO).

Beliau berkata, garis panduan itu akan diterbitkan bersama pelaksanaan Perintah Gaji Minimum baharu yang berkuat kuasa mulai Jun 2027.

Pelaksanaan tersebut merangkumi gaji pokok permulaan RM2,500 sebulan bagi graduan dan pekerja separuh mahir seperti diumumkan menerusi Belanjawan 2027.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved