Majlis apresiasi UPSI iktiraf peranan editor jurnal, penulis buku

23 Jul 2026 • 11:00 AM MYT
Bazli Razak
Bazli Razak

Media Officer, Corporate Comm Division, Sultan Idris Edu University (UPSI).

Image from: Majlis apresiasi UPSI iktiraf peranan editor jurnal, penulis buku
Mohd Khair (tengah) bergambar bersama para pemenang anugerah pada Majlis Apresiasi Sidang Editor Jurnal dan Penulis Buku UPSI 2026 di Dewan Muallim, Scholar’s Suites, Kampus Sultan Azlan Shah. Photo credit: UPSI

TANJONG MALIM, 21 Julai 2026 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mengiktiraf sumbangan ahli sidang editor jurnal dan penulis buku menerusi Majlis Apresiasi Sidang Editor Jurnal dan Penulis Buku UPSI 2026 sebagai usaha memperkukuh budaya penerbitan ilmiah serta meningkatkan reputasi universiti di peringkat nasional dan antarabangsa.

Majlis yang berlangsung di Dewan Muallim, Scholar’s Suites, Kampus Sultan Azlan Shah UPSI itu dirasmikan Pengerusi Lembaga Pengarah TV AlHijrah, Mohd Khair Ngadiron.

Mohd Khair berkata majlis berkenaan bukan sekadar penyampaian penghargaan, sebaliknya merupakan pengiktirafan kepada individu yang selama ini berperanan besar dalam membangunkan ekosistem ilmu negara.

“Majlis seperti ini bukan sekadar sebuah majlis penyampaian penghargaan. Ia sebenarnya adalah satu pengiktirafan kepada manusia-manusia yang memilih untuk bekerja dalam diam.

“Mereka mungkin tidak sentiasa berada di hadapan pentas. Namun merekalah yang membina pentas ilmu untuk generasi selepas kita,” katanya ketika berucap merasmikan majlis itu.

Beliau berkata penerbitan ilmiah merupakan nadi kepada perkembangan ilmu pengetahuan dan menjadi antara kayu ukur penting dalam menilai kecemerlangan sesebuah universiti.

“Sesebuah universiti mungkin mempunyai bangunan yang indah, makmal yang moden, pensyarah yang hebat dan pelajar yang cemerlang. Namun jika budaya menulis, menyunting dan menerbitkan ilmu itu terhenti, perlahan-lahan denyut intelektual universiti juga akan menjadi perlahan.

Mohd Khair turut menyifatkan Malaysia mempunyai potensi besar untuk muncul sebagai hab intelektual serantau dan menegaskan bahawa negara perlu memainkan peranan sebagai pengeluar ilmu, bukannya sekadar pengguna.

“Saya percaya UPSI turut mempunyai peranan yang sangat besar dalam cita-cita tersebut,” ujar beliau.

Majlis tersebut menyaksikan penyampaian pelbagai anugerah kepada editor jurnal dan penulis buku yang cemerlang sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan mereka dalam memperkukuh budaya penerbitan ilmiah UPSI.

Bagi kategori Sidang Editor Jurnal, anugerah yang disampaikan ialah Anugerah Ketua Editor Cemerlang, Anugerah Jurnal Berimpak, Anugerah Kejayaan Berimpak, Anugerah Pasukan Editor Jurnal Terbaik, Anugerah Kecemerlangan Penjanaan dan Anugerah Jurnal Harapan.

Sementara itu, kategori Penulis Buku Terbaik merangkumi Anugerah Print on Demand Terbaik, Anugerah Buku Terlaris, Anugerah Karya Asli Terbaik, Anugerah Rakan Penulis, Anugerah Penulis Harapan dan Anugerah Sanjungan Budi serta Anugerah Khas Pejabat Karang Mengarang (PKM)

Sementara itu, Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (RMIC) UPSI, Prof Madya Dr. Lena Farida Hussain Chin berkata ahli sidang editor memainkan peranan penting sebagai penjaga gawang kualiti akademik universiti dalam memastikan setiap penerbitan memenuhi piawaian global.

“Berkat usaha gigih sidang editor, jurnal-jurnal universiti terus melangkah megah, malah ada yang telah berjaya mendapat pengiktirafan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa seperti MyCITE, Scopus dan Web of Science (WoS).

“Setiap naskhah buku yang dihasilkan adalah bukti dokumentasi pemikiran, rujukan rintis dan warisan intelektual yang akan terus dirujuk oleh generasi hari ini dan masa hadapan. Warga akademik UPSI telah membuktikan bahawa budaya ‘Publish or Perish’ bukan sekadar slogan, tetapi satu pembudayaan hidup di universiti ini,” katanya.


Bazli Razak (bazli.razak@upsi.edu.my) adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!

Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi creator@newswav.com.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved