Majlis Media tubuh CMO

LocalBusiness & Finance
10 Sep 2026 • 3:24 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Pegawai polis jatuh

PETALING JAYA: Organisasi Pengurusan Kolektif (CMO) akan dibangunkan untuk penerbitan berita dengan menghimpunkan wakil industri berita dan kepakaran dalam bidang undang-undang serta harta intelek.

Pengerusi Majlis Media Malaysia (MMM), Tan Sri Nallini Pathmanathan berkata, inisiatif itu dilaksanakan berikutan persekitaran media berubah pantas dan bahan berita mudah ditemui melalui enjin carian, media sosial, agregator digital serta perkhidmatan dalam talian yang lain.

Katanya, perkembangan teknologi turut mewujudkan kaedah baharu untuk kandungan kewartawanan diakses dan digunakan, sekali gus menimbulkan persoalan penting bagaimana penerbit dapat mengurus serta melindungi hak cipta mereka dengan berkesan.

“Situasi ini berkait dengan persoalan sama ada industri mempunyai mekanisme berkesan untuk melindungi nilai kewartawanan asli dan memastikan penerbit dapat terus mengekalkan pelaburan diperlukan untuk menghasilkan berita berwibawa serta berkualiti.

“Justeru MMM melihat menerusi penubuhan CMO ini, ia memberi perlindungan hak cipta sebagai satu komponen semakin penting dalam memastikan kelestarian kewartawanan untuk jangka panjang di negara ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mesyuarat pertama Jawatankuasa Penasihat Teknikal (TAC) telah ditubuhkan MMM hari ini bagi memulakan usaha membangunkan CMO dalam memastikan pihak yang melabur dalam menghasilkan kewartawanan asli mempunyai mekanisme sewajarnya untuk melindungi hasil kerja dan mengambil bahagian secara adil dalam nilai dihasilkannya.

TAC dipengerusikan Zamri Rambli dan wakil organisasi berita nasional serta serantau, media digital dan kepakaran dalam bidang undang-undang dan harta intelek.

Pada masa sama, penubuhan TAC ini mencerminkan peranan MMM dalam menghimpunkan pihak berkepentingan dalam industri media Malaysia bagi menangani isu struktur yang memberi kesan kepada kelestarian, profesionalisme dan pembangunan kewartawanan.

Zamri berkata, inisiatif ini mengambil kira pelaburan besar yang diperlukan untuk menghasilkan kewartawanan yang berwibawa dan asli.

“Setiap berita yang dihasilkan mewakili satu pelaburan dalam wartawan, editor, teknologi, masa dan sumber.

“Dalam persekitaran digital hari ini, kewartawanan boleh diterbitkan semula, diedar dan digunakan merentasi pelbagai saluran hampir serta-merta.

“Kita perlu mencari kaedah praktikal untuk membolehkan penerbit berita melindungi nilai hasil kerja mereka sambil memastikan penggunaan kandungan berita yang sah dapat terus dilaksanakan,” katanya. – UTUSAN

The post Majlis Media tubuh CMO appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved