RUU Akta MARA 2026 dijangka dibentang di Parlimen November ini

LocalPolitics
19 Aug 2026 • 3:45 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: RUU Akta MARA 2026 dijangka dibentang di Parlimen November ini
Asyraf Wajdi ditemui media selepas menghadiri Program Pra-Pelepasan Tajaan MARA ke Luar Negara Perdana 2026, pada Rabu. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Draf Rang Undang-Undang (RUU) Akta Majlis Amanah Rakyat (MARA) 2026 yang bertujuan memperkemas dan memperkasa tadbir urus agensi itu kini berada di fasa akhir dan dijangka dibentang di Parlimen pada November ini.

Pengerusi MARA, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, sebanyak 80 peratus kandungan dalam RUU berkenaan memberi penekanan kepada aspek tata kelola dan tadbir urus berasaskan piawaian antarabangsa serta amalan tadbir urus korporat yang baik, selain mengehadkan kuasa pengerusi.

"Kuasa pengerusi dikurangkan, dia tidak boleh terlibat dalam hal-hal berkaitan pentadbiran dan hanya ‘check and balance’. Ini bukan mengenai saya.

"Ia mengenai institusi. Saya di sini hanya untuk sementara waktu tetapi saya ingin meninggalkan legasi bahawa institusi itu mesti kuat, kukuh dan teguh dari segi tadbir urus korporatnya supaya tiada ruang untuk sebarang bentuk rasuah atau penyelewengan,” katanya ketika berucap pada Program Prapelepasan Pelajar Tajaan MARA ke Luar Negara Perdana 2026 di sini pada Rabu.

Pada 12 Ogos lepas, Asyraf Wajdi berkata, penggubalan akta baharu itu diambil bagi memastikan tiada lagi insiden berkaitan salah guna kuasa, kelemahan tadbir urus, penyelewengan, penyimpangan, ketirisan mahupun keborosan serta risiko yang mengakibatkan kemudaratan besar kepada institusi terbesar yang bertanggungjawab menjaga kepentingan Melayu dan Bumiputera itu.

Beliau berkata, antara perkara utama dalam draf RUU Akta MARA 2026 itu yang mendapat kelulusan dasar Mesyuarat Jemaah Menteri ialah pengurangan kuasa Pengerusi MARA yang hanya akan bertanggungjawab mempengerusikan Lembaga Pengarah atau Majlis serta menentukan perkara dasar, berbanding kuasa yang diperuntukkan di bawah Akta MARA 1966.

Menurut Asyraf Wajdi, Akta MARA 1966 perlu diperbaharui memandangkan ia tidak lagi sesuai dengan perkembangan dan keperluan tadbir urus korporat masa kini.

"Apa yang dibuat pada 1960-an sudah berbeza dengan 1970-an dan sekarang juga berbeza. Sepuluh atau 20 tahun akan datang juga akan berbeza. Pada waktu itu, apa yang saya buat pada 2026 ini mungkin sudah tidak relevan (pada masa akan datang) dan perlu terus ada perubahan yang lebih baik,” katanya. - Bernama

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved