‘Majlis Peguam belum terima, Tony Pua sudah ada minit pengampunan Najib’

LocalPolitics
26 Nov 2026 • 4:10 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: ‘Majlis Peguam belum terima, Tony Pua sudah ada minit pengampunan Najib’

KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) mempersoalkan proses penyahrahsiaan minit mesyuarat Lembaga Pengampunan membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, termasuk sama ada tindakan itu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong terlebih dahulu.

Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, kerajaan perlu menjelaskan pihak yang mempunyai kuasa menyahrahsia dokumen berkenaan serta tujuan sebenar tindakan itu dilakukan.

Beliau berkata, persoalan itu timbul susulan jawapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat, Selasa lalu, yang menyatakan minit mesyuarat berkenaan telah dinyahrahsia oleh Jabatan Peguam Negara.

Katanya, jawapan itu menimbulkan persoalan apabila Majlis Peguam Malaysia dilaporkan masih belum menerima dokumen berkenaan sehingga Rabu, sedangkan individu lain, termasuk bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua, didakwa sudah memperolehnya.

“Kalau sudah dinyahrahsia, mengapa mereka (Majlis Peguam) sehingga hari Rabu masih belum menerimanya?

“Bagaimana pula Tony Pua boleh memperolehi minit mesyuarat tersebut sehingga mendedahkannya menerusi Facebook?” katanya dalam sidang akhbar di Dewan Rakyat hari ini.

Takiyuddin berkata, pihaknya turut mempersoalkan sama ada proses penyahrahsiaan itu terlebih dahulu dimaklumkan kepada Yang di-Pertuan Agong memandangkan mesyuarat Lembaga Pengampunan berkenaan dipengerusikan Seri Paduka Baginda.

Beliau berkata, kerajaan sepatutnya mengambil kira kedudukan institusi diraja dan memastikan segala tindakan membabitkan dokumen mesyuarat berkenaan dilakukan dengan penuh tertib.

Sementara itu, Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata, Seksyen 2C Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88) memperuntukkan kuasa kepada seseorang menteri atau pegawai awam yang dipertanggungjawabkan untuk mengelaskan semula sesuatu dokumen rahsia rasmi.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan perlu memperincikan pihak yang melaksanakan penyahrahsiaan minit mesyuarat bertarikh 18 atau 19 September 2026 itu serta asas tindakan berkenaan.

Beliau berkata, semakan pihaknya menerusi sistem e-Filing Mahkamah Persekutuan pada 24 November lalu, mendapati tiada afidavit jawapan daripada Jabatan Peguam Negara yang difailkan bagi menjawab permohonan Majlis Peguam Malaysia berkaitan isu pengampunan itu.

“Perdana Menteri menyatakan minit ini perlu dinyahrahsia kerana Peguam Negara perlu menjawab afidavit sokongan kepada permohonan Majlis Peguam.

“Namun, apabila kami membuat semakan pada sistem e-Filing Mahkamah Persekutuan, tidak terdapat apa-apa dokumen daripada Jabatan Peguam Negara yang merupakan afidavit jawapan atau balasan kepada Majlis Peguam,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga perlu menjelaskan sama ada Yang di-Pertuan Agong telah dimaklumkan mengenai keputusan menyahrahsia dokumen berkenaan atau mendapatkan pandangan Seri Paduka Baginda terlebih dahulu.

Menurutnya, PN tidak mempersoalkan kuasa penyahrahsiaan semata-mata, sebaliknya mahu memastikan proses itu tidak membabitkan tindakan yang boleh menimbulkan persoalan terhadap kedudukan institusi diraja.

Dalam pada itu, Takiyuddin menggesa pihak berkuasa menyiasat pendedahan minit mesyuarat berkenaan oleh Tony Pua sekiranya dokumen itu masih berstatus rahsia rasmi.

Katanya, sudah terdapat beberapa laporan polis dibuat berhubung pendedahan berkenaan dan tiada alasan untuk pihak berkuasa menangguhkan siasatan.

“Apabila adanya sesuatu laporan polis, ia perlu terus disiasat. Perdana Menteri sendiri telah menuding jari kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) supaya perkara itu disiasat.

“Jadi, tidak ada alasan lagi untuk tidak menyiasat. Bukan susah hendak mencari Tony Pua,” katanya. – UTUSAN

 

The post ‘Majlis Peguam belum terima, Tony Pua sudah ada minit pengampunan Najib’ appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved