Majlis Peguam sokong e-Jamin diteruskan pada 2024 tanpa mengetahui tiada kontrak rasmi

LocalPolitics
13 Oct 2026 • 6:18 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Majlis Peguam sokong e-Jamin diteruskan pada 2024 tanpa mengetahui tiada kontrak rasmi Image from: Majlis Peguam sokong e-Jamin diteruskan pada 2024 tanpa mengetahui tiada kontrak rasmi liza13/10/2026 - 18:18 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 13 Okt – Majlis Peguam Malaysia mempertahankan keputusannya menyokong sistem pembayaran wang jaminan mahkamah secara elektronik iaitu e-Jamin pada Mei 2024 dengan menegaskan pihaknya tidak mengetahui sistem itu beroperasi tanpa kontrak rasmi antara kerajaan dengan syarikat pengendalinya, Dapat Vista (M) Sdn Bhd.

 

Dalam satu kenyataan, Majlis Peguam berkata sokongan itu diberikan bagi memastikan tertuduh, khususnya golongan berpendapatan rendah (B40) dapat membayar wang jaminan dengan cepat tanpa perlu berdepan kelewatan yang boleh menyebabkan mereka terus ditahan.

 

Sistem e-Jamin membolehkan tertuduh atau penjamin membuat pembayaran wang jaminan mahkamah di luar waktu operasi bank yang memudahkan urusan pembayaran dan proses pembebasan tertuduh yang dibenarkan diikat jamin.

 

Bantahan terhadap penamatan sistem

Majlis Peguam berkata pihaknya sebelum ini membantah rancangan untuk menghentikan penggunaan e-Jamin mulai 19 Mei 2024 selepas dimaklumkan mengenai keputusan itu pada 13 Mei tahun sama.

 

Menurutnya, penggunaan semula kaedah pembayaran secara manual berisiko menyebabkan kelewatan dalam urusan pembayaran wang jaminan dan seterusnya menjejaskan proses pembebasan tertuduh.

 

Bagaimanapun, Majlis Peguam berkata sokongannya terhadap sistem itu tidak bermaksud pihaknya mengetahui bahawa e-Jamin beroperasi tanpa perjanjian rasmi dengan kerajaan.

 

Laporan PAC dedah isu kontrak dan pengurusan wang

Perkara itu kembali menjadi perhatian susulan laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada 5 Oktober 2026.

 

Majlis Peguam menyuarakan kebimbangan terhadap dapatan bahawa e-Jamin telah beroperasi selama beberapa tahun tanpa kontrak rasmi, meskipun Kementerian Kewangan menetapkan keperluan perjanjian bagi melindungi kepentingan kerajaan.

 

Laporan berkenaan turut membangkitkan persoalan mengenai pengurusan wang jaminan.

 

Menurut Majlis Peguam, Jabatan Peguam Negara pada Mac 2024 telah memaklumkan bahawa wang berkenaan merupakan wang awam yang perlu diuruskan selaras dengan keperluan perlembagaan dan kewangan.

 

Majlis Peguam berkata dapatan itu mendedahkan kelemahan serius dalam aspek tadbir urus dan akauntabiliti yang perlu ditangani bagi memastikan pengurusan wang awam dilaksanakan dengan sewajarnya.

 

Desak kerajaan perjelas kelemahan tadbir urus

Sehubungan itu, Majlis Peguam menggesa kerajaan memastikan setiap perkhidmatan awam mempunyai kontrak bertulis dan perjanjian tahap perkhidmatan (service-level agreement) bagi melindungi wang awam serta memperjelas tanggungjawab pihak yang terlibat.

 

Pada masa sama, Majlis Peguam meminta ahli politik supaya tidak mempolitikkan penglibatannya dalam isu e-Jamin, sambil menegaskan bahawa pihaknya bukan pemilik atau pengendali sistem itu dan tidak mempunyai kuasa penyiasatan seperti PAC.

 

Majlis Peguam turut menggesa Ahli Parlimen menyoal Kementerian Kewangan, Perdana Menteri serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) bagi mendapatkan penjelasan mengenai isu berkenaan dan menangani kelemahan tadbir urus yang dikenal pasti.

 

Menurutnya, keutamaan ketika ini adalah memastikan wang jaminan dilindungi, direkodkan dengan betul dan dipulangkan tepat pada masanya, selain menjaga kelancaran pentadbiran keadilan jenayah serta hak tertuduh. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved