Pengendali eJamin labur RM130.8 juta wang jaminan tanpa kontrak rasmi, Parlimen dimaklumkan

LocalPolitics
8 Oct 2026 • 9:00 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pengendali eJamin labur RM130.8 juta wang jaminan tanpa kontrak rasmi, Parlimen dimaklumkan Image from: Pengendali eJamin labur RM130.8 juta wang jaminan tanpa kontrak rasmi, Parlimen dimaklumkan johardy08/10/2026 - 09:00 Oleh Muhammad Iman editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 7 Okt - Kerajaan sedang meneliti perjanjian rasmi dengan pengendali eJamin, Dapat Vista Sdn Bhd, selepas Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendapati syarikat itu melaburkan RM130.8 juta deposit jaminan mahkamah atas namanya sendiri ketika mengendalikan sistem tersebut tanpa kontrak rasmi dengan kerajaan.

 

Pelaburan itu menjana faedah tahunan antara RM4 juta dan RM5 juta, menurut dapatan yang dilaporkan PAC sebelum ini. Jumlah deposit jaminan dalam akaun berkenaan ialah RM193.71 juta setakat 31 Disember 2024.

 

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M Kulasegaran berkata, cadangan perjanjian itu akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri dalam masa terdekat, dengan jabatan berkaitan memperincikan terma perkhidmatan, akauntabiliti dan ketelusan.

 

“Kita perlu mempercepatkan perjanjian itu supaya terma-terma dapat dimaklumkan kepada orang ramai, wujud akauntabiliti dan semua pihak mengetahui perkara berkenaan,” katanya ketika menggulung perbahasan Laporan Ketua Audit Negara 2/2026 di Dewan Rakyat pada Rabu.

 

PAC sebelum ini melaporkan bahawa eJamin, yang membolehkan pembayaran wang jaminan mahkamah dibuat secara dalam talian, telah beroperasi selama lima tahun sejak 2020 tanpa kontrak rasmi dengan Kerajaan Persekutuan.

 

Kulasegaran berkata, kerajaan mengakui keperluan untuk memperjelas hubungan serta tanggungjawab masing-masing antara kerajaan dengan pengendali, termasuk isu pelaburan wang jaminan oleh syarikat berkenaan.

 

Kerajaan tolak tiga cadangan komersial

PAC mengemukakan tiga pilihan, iaitu kerajaan membeli sistem eJamin secara terus daripada Dapat Vista, melanggan perkhidmatan dan produknya, atau membayar kos penyelenggaraan serta operasi sebelum sistem itu akhirnya diserahkan kepada kerajaan.

 

Bagaimanapun, Kementerian Kewangan menolak ketiga-tiga cadangan komersial tersebut pada 22 Oktober 2025, kata Kulasegaran.

 

Sebaliknya, kementerian memutuskan untuk mengekalkan sistem sedia ada tanpa kos kepada kerajaan menerusi perjanjian rasmi, berserta struktur bank pemegang amanah.

 

Diperkenalkan pada 2020 sebagai langkah sementara, eJamin terus digunakan kerana memudahkan urusan orang ramai dan pengamal undang-undang, katanya.

 

Sistem itu membolehkan pembayaran diselesaikan dalam tempoh kurang setengah jam, berbanding kira-kira lima jam melalui kaedah pembayaran secara fizikal sebelum ini.

 

Sistem eJamin telah digunakan bagi pembayaran wang jaminan untuk 81,667 kes sehingga 2025, melibatkan kutipan RM255.198 juta. Kulasegaran berkata, audit tidak menemukan sebarang kes penyelewengan kewangan. — DagangNews.com

 

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved