Majlis Perbandaran Manjung, UiTM Seri Iskandar jalin kerjasama kongsi kepakaran merancang pembangunan

6 Oct 2023 • 3:41 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Majlis Perbandaran Manjung, UiTM Seri Iskandar jalin kerjasama kongsi kepakaran merancang pembangunan

zakisalleh

06/10/2023 - 15:41

MANJUNG 6 Okt - Majlis Perbandaran Manjung (MPM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perak meneroka kerjasama dalam bidang penyelidikan dan kajian untuk digunakan dalam merancang pembangunan masa hadapan Manjung.

Kedua-dua belah pihak akan bertukar-tukar pandangan, memberikan nasihat serta melaksanakan aktiviti yang bersesuaian demi kebaikan dan manfaat bersama.

Memorandum persefahaman (MoU) ini akan berkuatkuasa selama tiga tahun.

Bagaimana pun, tempoh kerjasama tersebut ini boleh dilanjutkan untuk satu jangkamasa yang dipersetujui bersama secara bertulis pada masa akan datang.

image is not available
Syamsul Hazeman (tiga dari kiri) dan Muhammad bertukar dokumen selepas memeterai MoU.

Majlis menandatangani MoU ini telah disempurnakan antara Yang Dipertua MPM, Syamsul Hazeman Md. Salleh dan Timbalan Rektor UiTM Kampus Seri Iskandar, Prof. Madya Dr. Muhamad Abdul Aziz Ab. Gani.

Menurut Syamsul Hazeman, kerjasama itu tidak terbatas dalam satu aspek sahaja sebaliknya menyeluruh dan meliputi aspek perancangan, pembinaan, penguatkuasaan dan pelaksanaan.

“Menerusi MoU, kami akan memperoleh pandangan pihak ketiga dalam setiap perancangan, iaitu bukan hanya pandangan yang datang daripada pihak MPM dan komuniti.

“Jadi, kami berharap tenaga pakar dalam UiTM mungkin dapat melihat sesuatu perancangan daripada sudut yang lebih jauh,” katanya.

image is not available
Manjung yang semakin membangun perlukan satu perancangan untuk merangka pembangunan masa hadapan.

Jelas beliau lagi, antara perkara yang diharapkan adalah menghidupkan kembali bandar Lumut termasuk melibatkan bidang kesenian dan rekaan.

Ini kerana elemen perbandaran masa kini perlu hadir dengan keceriaan, bukan hanya dipenuhi binaan bangunan sahaja.

UiTM Perak Kampus Seri Iskandar mempunyai ramai tenaga pakar dalam kalangan pensyarah daripada Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur yang mana kemahiran mereka boleh dikongsi. - DagangNews.com

image is not available