Teleport, SF Airlines jalin kerjasama kongsi rangkaian logistik udara bagi teroka pasaran Eropah dan AS
zulfadli
02/10/2023 - 14:46
KUALA LUMPUR 2 Okt - Teleport, peneraju pasaran perkhidmatan logistik udara di Asia Tenggara, dan SF Airlines, syarikat penerbangan ekspres terbesar China menandatangani kerjasama dua hala bagi memanfaatkan rangkaian udara yang ekstensif dalam memberikan perkhidmatan lebih baik kepada para pelanggannya.
Teleport memberikan akses logistik meluas ke Asia Tenggara, manakala SF Airlines menawarkan rangkaian ekspres terbesar di China serta ke pasaran Eropah dan Amerika Utara.
Kerjasama ini berjaya melengkapkan penghantaran kargo yang signifikan bagi pelanggan kedua-dua pihak melalui gabungan kedua-dua rangkaian logistik udara mereka.
Teleport, anak syarikat logistik Capital A Bhd kini sedang giat menjalinkan usaha sama dengan syarikat penerbangan pihak ketiga bagi memperluas rangkaian logistik udaranya ke lapangan terbang utama seperti Kuala Lumpur dan Bangkok dari China, di samping meneroka pasaran baharu seperti Eropah dan Amerika Syarikat (AS).
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Teleport, Pete Chareonwongsak berkata, kerjasama ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan pihaknya untuk memperbanyakkan lagi jalinan dengan syarikat penerbangan pihak ketiga untuk Teleport.
Beliau berkata, pihaknya berharap dapat menyokong SF Express mengembangkan produk rentas sempadannya di Asia Tenggara.
Katanya, kerjasama bersama SF Airlines yang merupakan syarikat penerbangan kargo terbesar di China, bukan sahaja akan mengukuhkan kesalinghubungan serantau dengan China malah ia akan memperluas jangkauan pasaran Teleport ke Eropah dan Amerika, seterusnya menghubungkan rangkaian ke peringkat global melangkaui Asia Tenggara.

"Ini bakal membantu Teleport untuk memberikan perkhidmatan yang lebih baik, memperkukuh kemampuan hujung ke hujung, serta meningkatkan kebolehan untuk mengembangkan perniagaan kami bagi memenuhi keperluan rantau ini.
"Kerjasama ini mencerminkan komitmen kami yang berterusan dalam merevolusikan perkhidmatan logistik udara dan seterusnya menyediakan pelanggan kami dengan perkhidmatan yang lebih pantas, berpatutan dan mudah untuk memindahkan sesuatu ke seluruh Asia Tenggara, dan kini di peringkat global," katanya drnilam kenyataan media di sini hari ini.
SF Airlines mengendalikan armada hebat sebanyak 84 kapal pengangkut, dan menghubungkan lebih 90 destinasi global. Rangkaian udara antarabangsanya termasuk ke destinasi di Eropah dan Amerika Syarikat, Timur Tengah, dan Asia Tenggara dan lain-lain.
Pengerusi SF Airlines, Li Sheng menambah, kerjasama ini membolehkan pihaknya memperluas akses rangkaian seterusnya memanfaatkan frekuensi dan rangkaian udara Teleport yang meluas di Asia Tenggara serta pasaran utama di Asia Pasifik.
"Kami teruja dengan kerjasama ini yang bakal mengukuhkan lagi komitmen untuk terus mengembangkan kebolehan perkhidmatan logistik udara kami," katanya.
Teleport merupakan peneraju pasaran semasa dengan penghantaran jumlah kargo terbesar merentasi Asia Tenggara dan memiliki rangkaian logistik udara terbesar di rantau ini, dengan penggunaan lebihan ruang kargo 204 pesawat penumpang AirAsia lebar dan sempit.
Selain itu, Teleport memperkenalkan pesawat kargo pertama daripada tiga pesawat Airbus A321 Freighter (A321F) pada bulan Julai lalu, untuk mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai peneraju pasaran di rantau ini. - DagangNews.com

![[VIDEO] Capital A, Garuda Indonesia teroka kerjasama perkhidmatan komersial dan logistik di rantau ASEAN](https://cdn.newswav.com/img/topic/world.jpeg)

