Majlis Resepsi Erra Fazira, Ezwan Berlangsung Meriah, Erra Buat Sendiri Cenderahati Untuk Tetamu

EntertainmentLifestyle
14 Dec 2025 • 12:21 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Majlis resepsi perkahwinan Erra Fazira, 51 dan suami, Ezwan Zain, 44, yang berlangsung di Rinjani Majestic, Kampung Melayu Subang, pada Ahad menjadi perhatian bukan sahaja kerana kemeriahannya, malah kerana elemen peribadi yang disuntik oleh pengantin sendiri.

Acara yang diadakan secara tertutup itu dihadiri sekitar 500 tetamu terdiri daripada ahli keluarga terdekat serta rakan-rakan media. 

Sejurus pasangan mempelai melangkah masuk ke dalam dewan, suasana bertambah magis dengan persembahan cahaya yang menghiasi ruang majlis, selari dengan tema tradisional yang dipilih.

image is not available

Lebih mengujakan, langkah mereka diiringi alunan merdu kumpulan koir yang mendendangkan lagu-lagu malar segar seperti Bagaikan Sakti dan Asmaradana, sekali gus mencipta detik romantis yang menyentuh perasaan para hadirin.

Di sebalik kemegahan majlis, terselit sentuhan peribadi yang cukup dekat di hati Erra. Sebagai tanda penghargaan, primadona jelita itu mengambil inisiatif menghasilkan sendiri cenderahati untuk para tetamu.

Sebanyak 500 rantai kekunci disiapkan satu persatu oleh Erra atau nama sebenarnya Fazira Wan Chek, 51, dalam tempoh lebih sebulan.

image is not available

“Semua ini hasil tangan saya sendiri. Saya ambil masa hampir sebulan lebih untuk siapkan satu persatu. Ia tanda kasih sayang saya buat tetamu yang sudi hadir meraikan hari bahagia kami,” katanya.

Menurut primadona jelita itu lagi, proses menyiapkan cenderahati berkenaan bukanlah sesuatu yang mudah, namun kepuasan yang dirasai mengatasi segala keletihan.

“Memang penat dan sakit-sakit badan, terutama pinggang. Tapi bila tengok tetamu senyum dan gembira menerima hasil tangan saya, rasa puas hati itu tak boleh nak digambarkan,” ujarnya.

image is not available

Dalam pada itu, Erra turut mengakui tersentuh dengan usaha suaminya yang merancang pelbagai kejutan sepanjang majlis berlangsung.

“Saya langsung tak sangka dengan kejutan demi kejutan yang dia rancang, termasuklah persembahan koir dan susunan lagu. Saya nampak kesungguhan dia untuk menterjemahkan rasa cintanya,” katanya lagi.

Tambah Erra, pemilihan rakan artis yang membuat persembahan juga merupakan idea suami kerana dia menyerahkan semuanya kepada Ezwan untuk membuat keputusan dan ternyata lelaki itu berjaya membuatkan dirinya kagum.

image is not available

Untuk majlis resepsi itu, pasangan mempelai sepakat memilih busana tradisional rona perak rekaan Lumiere Concept. Kedua-dua mempelai tampil anggun dan segak melengkapkan konsep klasik yang menjadi pilihan mereka.

Terdahulu, pada pagi Jumaat, Erra dan Ezwan sah bergelar suami isteri dengan sekali lafaz di lokasi yang sama. Pada majlis berkenaan, Ezwan menyerahkan mas kahwin berupa 24 dinar emas kepada Erra. 

Perkahwinan pasangan ini bukan sahaja mendapat perhatian peminat, malah turut menjadi perbualan ramai sehingga dilabel sebagai Wedding Of The Year. - Getaran, 14 Disember 2025

Foto : Instagram errafazira