
KUALA LUMPUR - Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin mengesahkan Majlis Syura Ulamak parti itu hari ini menerima rayuan tiga Adun Perlis yang ditamatkan keahliannya pada 24 Disember lalu.
Keputusan itu sekali gus membolehkan tiga bekas Adun terbabit iaitu Saad Seman (Chuping), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji) kembali menjadi ahli PAS.
Hashim berkata keputusan itu dibuat dalam mesyuarat yang pada 27 Januari lalu di Pejabat Agung PAS di Kuala Lumpur.
"Adalah dimaklumkan, mesyuarat Majlis Syura Ulamak tersebut menerima rayuan yang dikemukakan oleh ketiga-tiga ahli PAS Perlis tersebut," katanya dalam perkongsian di Facebook hari ini.
"Pada akhir perbincangan mesyuarat, Mursyidul Am telah membacakan faktor penerimaan kembali menjadi ahli PAS," katanya.
Hashim berkata prinsip al-Quran antaranya Firman Allah SWT melalui Surah al-Hujurat: ayat 10 mengenai ukhuwah dan persaudaraan, bukannya menghentikan ahli tanpa kasih sayang menjadi antara pertimbangan.
Selain itu, katanya manhaj Nabi Muhammad SAW dalam hukuman adalah mendahulukan taubat, membuka pintu kemaafan dan bukan tergesa-gesa menghukum seperti, selain kaedah fiqh yang menyebut kemudaratan hendaklah dihilangkan.
"Apabila tiga kawasan DUN tiada wakil rakyat berfungsi, maka terhasillah kemudaratan awam yang jelas. Kebajikan rakyat tidak boleh dikorbankan demi ketegasan pentadbiran parti.
"Faktor lain adalah siasah syar'iyyah yang mana matlamatnya adalah menjaga kesatuan saf, memelihara kepercayaan dalaman serta mengurus khilaf tanpa memusnahkan jamaah.
"Rakyat tidak boleh menjadi mangsa konflik dalaman parti," katanya.
Tambah Hashim, PAS adalah jemaah Islam yang memperuntukkan kuasa besar kepada Majlis Syura 'Ulamak dan Mursyidul Am dalam Perlembagaan untuk memelihara Perlembagaan supaya dasar PAS dipatuhi dalam kegiatan dan pentadbiran PAS.
"Majlis Syura Ulamak perlu membawa watak adil, pendamai dan pemaaf dalam menyatukan ahli PAS yang berpecah, khasnya di Perlis supaya tidak berterusan.
"Ulamak tidak boleh menambah api permusuhan yang marak menyala," katanya lagi.
Pada 24 Disember lalu, PAS menghentikan serta-merta keahlian tiga Adun terbabit berikutan kemelut politik yang menyaksikan Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli meletak jawatan. - 1 Februari, 2026
The post Majlis Syura Ulamak PAS terima kembali tiga Adun Perlis: Hashim Jasin appeared first on Scoop.
