Majlis tilawah Al-Quran bantu tegak syiar Islam

21 Feb 2023 • 4:10 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

TAMPARULI: Amalan penganjuran majlis tilawah Al-Quran, khususnya di Sabah dilihat mampu membantu menegakkan syiar Islam yang telah lama wujud di negara ini.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Jahid Jahim berkata, majlis seumpama itu juga mampu menjadi platform kepada umat Islam untuk mendekati ajaran yang terkandung didalam Al-Quran.

Katanya, selain itu, umat Islam juga mampu menghayati serta mengamalkan petunjuk serta panduan yang terdapat dalam kitab suci Al-Quran.

“Sesungguhnya kitab suci yang diturunkan lebih 1,400 tahun dahulu mampu membimbing manusia dalam setiap zaman untuk mencapai kemajuan dan kejayaan dalam hidup dan di akhirat.

“Sekiranya umat Islam berpegang teguh dengan ajaran Islam seperti mana yang terkandung di dalamnya, maka mereka akan menjadi satu umat yang maju dan bertamadun, kuat dan bersatu padu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Daerah Tuaran & Daerah Kecil Tamparuli di Masjid Ubudiyyah Pekan Tamparuli, di sini, Isnin.

Hadir sama, Pegawai Daerah Tuaran merangkap Pengerusi Badan Dakwah Daerah Tuaran, Syahrin Samsir.

Jahid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tamparuli berkata, umat Islam akan terjebak ke dalam kemunduran dan merosakkan ummah sekiranya mengabaikan amalan ajaran Islam.

Katanya, ini termasuk perpecahan, lemah, tidak berani bersaing, takut menghadapi cabaran, dengki sesama sendiri, serta mudah terpengaruh dengan ajaran salah dan menyesatkan.

“Malahan mereka juga sengaja membiarkan diri mereka terdedah kepada kemurkaan Allah SWT,” katanya.

Sementara itu, Jahid turut mengajak masyarakat untuk bersama memperbaharui tekad dan iltizam untuk menguatkan serta meneguhkan iman serta penghayatan ajaran islam.

“Mudah-mudahan negara kita dan umat Islam di rantau ini akan muncul sebagai sebuah negara dan satu bangsa yang maju, disegani di mata dunia dan mampu mengembalikan kegemilangan serta keagungan Islam seperti masa lampau,” katanya.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.