KUANTAN - “Mak, Along teringin sangat nak makan nasi minyak ayam merah. Kalau mak baca ini, bawalah adik-adik datang melawat Along di sini.”
Demikian kata seorang penghuni Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Gambang yang hanya mahu dikenali sebagai Along, 30, ketika berkongsi perasaan menyambut Aidilfitri.
Anak sulung daripada empat beradik itu memberitahu, juadah itu bukan sekadar hidangan kegemaran, tetapi mengingatkan dirinya kepada kasih sayang ibunya.
Menurutnya, setiap kali menjelang Syawal, dia biasanya membantu ibunya di dapur termasuk menyediakan bahan masakan termasuk sate dan tapai
“Tahun ini kali pertama saya beraya tanpa mak dan beraya di pusat dan memang sedih bila fikirkan (teringatkan) semua itu.
"Along minta maaf banyak-banyak kepada adik beradik kerana tidak dapat bersama raya tahun ini.. tapi Along harap mak datang pada hari raya di pusat pada awal April ini," katanya ketika ditemui di PUSPEN Gambang di sini baru-baru ini.
**media[3470725]**
Dia turut meluahkan kekesalan kerana terjebak dengan dadah sehingga mengakibatkan dirinya dimasukakan di pusat pemulihan itu sejak tiga bulan lalu.
Bercerita mengenai kisah hidupnya, Along memberitahu, pernah menjadi imam surau di kampung halamannya di Terengganu, selain bekerja sebagai penebar roti canai.
Selain mengetuai solat berjemaah, Along juga membantu menguruskan jenazah dan menghadiri majlis tahlil serta program keagamaan di kampung sehingga mendapat kepercayaan masyarakat setempat.
“Ketika itu orang kampung sangat percaya kepada saya, tapi disebabka kelalaian diri sendiri dan mula menjauhkan diri daripada agama, saya akhirnya terjerumus semula.
“Saya tidak salahkan sesiapa, bukan salah kawan atau masyarakat, tetapi salah diri sendiri kerana mahu mencuba dadah jenis syabu dan pil kuda selepas tamat SPM,” ujarnya yang mengakui terjebak dengan penyalahgunaan dadah sejak lebih sedekad lalu.
Menurut Along, ibunya yang kini berusia 51 tahun akhirnya membuat laporan kepada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) selepas buntu melihat keadaan dirinya.
Tambahnya, selepas bapanya meninggal dunia kira-kira 10 tahun lalu, dia sepatutnya menjadi pelindung keluarga sebagai anak sulung, namun ia berlaku sebaliknya.
“Di sini (PUSPEN), mata saya mula terbuka. Saya diberi tanggungjawab sebagai Naqib al-Quran dan membantu rakan-rakan lain dalam bacaan serta tasmik. Disinilah titik mula untuk saya berubah.
“Saya cuma berharap masyarakat tidak terus memandang rendah apabila bebas nanti, saya mahu membahagiakan mak sebagai ganti segala kesedihan yang pernah saya berikan,” katanya.
Seorang orang penghuni yang mahu dikenali Pak Kori, 52, memberitahu air matanya pernah menitis saat melaungkan takbir raya di sini pada Aidilfitri lalu.
Bapa kepada lapan anak itu sudah tujuh bulan menggalas tugas sebagai Imam serta ketua Naqib selepas dimasukkan di sini kira-kira awal tahun lalu.
"Sudah dua kali raya saya sambut di sini. Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha tahun lalu.Tahun ini pun saya akan takbir raya.
"Setiap kali saya laungkan takbir raya tu, menitis juga air mata, sebab rasa sedihnya apabila berjauhan dengan keluarga, anak-anak, isteri dan mak dekat luar sana." luahnya.
Ditanya jika ahli keluarga akan melawatnya ketika sesi lawatan khas Aidilfitri nanti, lelaki berasal daripada Kelantan itu memaklumkan dia tidak membenarkan mereka datang kerana tidak lama selesai menjalani pemulihan dan akan pulang ke pangkuan keluarga.
Namun, Pak Kori mengakui sedih mengenangkan tidak dapat berjumpa dan bermaaf-maafan dengan dua isteri dan cucu-cucunya pada hari raya ini.
**media[3470723]**
"Perasaan nak balik itu, makin dekat nak balik, makin lambat rasa. Orang kata seperti menghitung hari.
"Insya-ALLAH selepas pulang ni saya akan buat perubahan dan tak akan menghisap dadah lagi. Inipun saya rasa malu dengan masyarakat," katanya lagi.
Pak Kori mengakui kesilapan ketika zaman mudanya mencuba najis dadah iaitu pil kuda membawa padah apabila dia menjadi ketagihan sehingga ke usia ini.
"Saya tidak salahkan orang lain, semua ini berlaku disebabkan kesilapan diri sendiri yang mahu mencuba sesuatu yang baru ketika darah muda seawal umur 17 tahun," ceritanya lagi.
