‘Mak potong gaji sendiri’ -Berkat RM10 sebulan sejak kecil, 10 beradik tunai haji usia muda serentak

LocalPersonal Finance
25 May 2026 • 10:09 AM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

Image from: ‘Mak potong gaji sendiri’ -Berkat RM10 sebulan sejak kecil, 10 beradik tunai haji usia muda serentak

SEJUK hati melihat 10 beradik ini serentak dijemput menjadi tetamu ALLAH di Tanah Suci. Ternyata usaha dan kesabaran tidak pernah mengkhianati hasil apabila amalan ibu bapa menabung serendah RM10 hingga RM20 sebulan sejak kecil sejak dua dekad lepas membuka jalan untuk mereka menunaikan ibadah haji pada usia muda pada musim haji tahun ini.

Memetik Sinar Harian dan Bernama, kejayaan 10 daripada 16 adik-beradik dari Perak itu berkumpul menunaikan haji tahun ini hasil disiplin dan pengorbanan ibu mereka, Azizah Ibrahim, 68, yang sejak awal menitikberatkan pendidikan agama tabungan simpanan Tabung Haji anak-anak.

Muhammad Huzair Zakhal, 39, berkata ibunya mula merancang simpanan haji untuk kesemua anak sejak mereka masih kecil dengan membuka akaun TH dan menyalurkan simpanan bulanan secara konsisten.

"Kami tidak pernah melihat duit raya sebagai wang untuk dibelanjakan kerana kebanyakannya akan dimasukkan ke dalam akaun Tabung Haji.

"Semasa kecil mungkin kami tidak faham, tetapi sekarang kami sedar itu antara usaha awal mak ayah untuk memastikan kami mempunyai simpanan bagi menunaikan haji suatu hari nanti," katanya.

Dia berkata lagi,  selain duit raya, ibunya, Azizah Zaudi, 69, turut menyimpan RM10 sebulan bagi setiap anak sebelum meningkatkan jumlah itu kepada RM20 mengikut kemampuan keluarga.

Image from: ‘Mak potong gaji sendiri’ -Berkat RM10 sebulan sejak kecil, 10 beradik tunai haji usia muda serentak

Menurutnya, disiplin tersebut diteruskan hampir dua tahun sehingga setiap anak mempunyai simpanan minimum RM1,300 bagi membolehkan pendaftaran haji muassasah dilakukan secara berjemaah pada tahun 2009.

Kongsinya lagi, dia bersama sembilan adik-beradik lain serta pasangan masing-masing berangkat di bawah KT37 menjadikan keseluruhan 16 ahli keluarga berada bersama di bumi Makkah.

“Mak potong daripada pendapatan sendiri. Mula-mula jumlahnya RM120 sebulan sebelum meningkat kepada RM240 sebulan menyimpan untuk kami adaik-beradik.

“Kami juga tidak dibenarkan menggunakan duit raya kerana semuanya perlu dimasukkan ke TH,” katanya.

Bagaimanapun, apabila menerima panggilan haji bagi musim ini, sebahagian daripada mereka masih perlu berusaha menambah simpanan bagi melengkapkan kos perjalanan.

"Ada yang belum cukup simpanan ketika panggilan diterima. Kami fikir mungkin ada yang perlu tangguh dahulu, tetapi mak tetap mahu melihat anak-anaknya pergi bersama-sama dan membantu apa-apa yang perlu," katanya.

Image from: ‘Mak potong gaji sendiri’ -Berkat RM10 sebulan sejak kecil, 10 beradik tunai haji usia muda serentak

Dalam pada itu, Muhammad Huzair berkata, dua lagi adik-beradiknya, iaitu kakak sulung mereka telah menunaikan haji pada tahun lepas, manakala seorang lagi adik yang mempunyai masalah kesihatan tidak dapat menyertai rombongan kali ini.

Selain menitikberatkan soal kewangan, Muhammad Huzair mendedahkan, ibu bapanya turut mementingkan pendidikan agama sejak kecil termasuk pengajian al-Quran, hadis dan kepentingan menjaga hubungan kekeluargaan.

Kongsinay lagi, sistem pendidikan keluarga mereka menggabungkan akademik dan tahfiz sebelum meneruskan pengajian kitab selepas khatam 30 juzuk al-Quran.

“Mak sebelum ini pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) tetapi berhenti kerja untuk membesarkan dan mendidik kami sepenuh masa di rumah.

Image from: ‘Mak potong gaji sendiri’ -Berkat RM10 sebulan sejak kecil, 10 beradik tunai haji usia muda serentak

Nilai yang diterapkan itu, katanya, terus diamalkan hingga hari ini dan menjadi antara faktor yang mengeratkan hubungan sesama adik-beradik walaupun masing-masing telah berkeluarga.

Peluang berkumpul bersama keluarga besar di Tanah Suci sebagai tetamu ALLAH menjadi detik paling bermakna buat mereka kerana bukan mudah untuk berkumpul lengkap di Malaysia memandangkan masing-masing sibuk dengan kerjaya dan keluarga.

“Di Malaysia memang susah hendak berkumpul ramai-ramai macam ini. Jadi peluang berada bersama di Tanah Suci benar-benar kami hargai,” katanya.

"Sepanjang berada di Tanah Suci, kami bukan sahaja dapat beribadah bersama-sama, tetapi turut meluangkan masa dengan adik-beradik yang jarang dapat berkumpul dalam jumlah yang besar di Malaysia.

“Mak selalu pesan supaya kami saling menjaga antara satu sama lain dan gunakan peluang di Tanah Suci ini untuk memperbaiki diri serta mengeratkan hubungan keluarga,” ceritanya lagi.

Muhammad Huzair juga memberitahu akan meneruskan legasi keluarganya dengan membuka akaun dan mendaftarkan haji untuk ketiga-tiga anaknya sejak kecil.

Bagi lelaki tersebut, apa yang dilakukan ibunya bukan sekadar simpanan haji, tetapi satu warisan kehidupan yang kini cuba diteruskan kepada generasi seterusnya.

Sumber: Sinar Harian, Bernama