Simpanan ibu sejak kecil bantu remaja 18 tahun ini tunai haji, jadi jemaah termuda – 'Terima kasih mak'

4 May 2026 • 12:23 PM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

Image from: Simpanan ibu sejak kecil bantu remaja 18 tahun ini tunai haji,  jadi jemaah termuda – 'Terima kasih mak'

KETIKA ramai remaja seusia dengannya masih meniti alam persekolahan dan bergantung sepenuhnya kepada keluarga, seorang anak muda bernama Eusoff Azman ini memilih laluan berbeza yang jarang dilalui pada usia sebegitu, menjejakkan kaki ke Tanah Suci untuk menunaikan ibadah haji seorang diri.

Lebih menarik, perjalanan rohani itu bukan berlaku secara kebetulan. Ia adalah hasil perancangan rapi sejak beliau masih kecil, disulam dengan disiplin simpanan, doa ibu bapa dan kepercayaan bahawa setiap usaha kecil akhirnya akan membawa makna besar dalam hidup.

Bekas pelajar Maktab Tentera Diraja itu membuktikan bahawa usia muda bukan penghalang untuk menunaikan Rukun Islam kelima, sebaliknya boleh menjadi permulaan kepada sebuah pengalaman yang cukup mendewasakan jiwa.

Menurut perkongsiannya kepada Bernama baru-baru ini, segalanya bermula sejak beliau masih bayi apabila ibunya telah mengambil langkah awal mendaftarkan namanya di Tabung Haji.

Daripada situ, perjalanan ke Tanah Suci mula ‘dibina’ sedikit demi sedikit tanpa disedari ramai.

“Mak saya daftarkan saya sejak tahun 2008, masa itu saya masih kecil lagi.

"Alhamdulillah tahun ini rezeki saya dipilih untuk menunaikan haji dan saya pergi seorang diri,” katanya.

Image from: Simpanan ibu sejak kecil bantu remaja 18 tahun ini tunai haji,  jadi jemaah termuda – 'Terima kasih mak'

Apa yang lebih menyentuh, impian itu tidak hanya bergantung kepada satu pihak. Ia digerakkan bersama usaha keluarga yang konsisten menyimpan demi satu matlamat besar.

Duit raya, wang saku harian dan simpanan kecil sejak zaman kanak-kanak akhirnya menjadi bekal ke Tanah Suci.

“Saya simpan sedikit demi sedikit, tapi banyak juga bantuan daripada mak dan ayah.

"Memang dari awal mereka sudah merancang untuk saya,” ujarnya lagi.

Bagi remaja berusia 18 tahun yang lain, perjalanan ke luar negara tanpa keluarga mungkin sesuatu yang menimbulkan rasa gentar.

Namun bagi Eusoff, pengalaman tinggal di asrama sebelum ini sedikit sebanyak membantu dirinya membina keyakinan untuk berdikari dalam suasana baharu.

“Cuma ini pengalaman pertama saya berada jauh di luar negara seorang diri. Tapi saya tak terlalu gementar sebab sudah biasa duduk di asrama,” katanya.

Lebih bermakna, perjalanan haji ini turut membuka ruang buat dia bergaul dengan jemaah lain yang jauh lebih berusia.

Anggap macam bapa sendiri

Perbezaan umur yang mencecah puluhan tahun tidak menjadi penghalang untuk beliau belajar dan menimba pengalaman.

“Rakan sebilik saya ramai yang lebih berumur, sekitar 50 tahun. Tapi kami boleh berborak seperti biasa.

"Saya banyak belajar daripada pengalaman mereka. Saya anggap mereka macam bapa sendiri,” jelasnya.

Sepanjang berada di Tanah Suci, Eusoff mengakui bahawa pesanan ibu bapa menjadi pegangan utama dalam setiap langkah, sama ada dalam menjaga ibadah mahupun keselamatan diri.

Nasihat itu menjadi kekuatan emosi ketika berjauhan daripada keluarga buat kali pertama dalam tempoh yang panjang.

Di sebalik kejayaan menunaikan haji pada usia muda, Eusoff turut mencatat pencapaian akademik membanggakan apabila memperoleh 7A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Namun baginya, kejayaan sebenar bukan sekadar pada keputusan, tetapi pada peluang menjadi tetamu Allah pada usia yang cukup muda.

Image from: Simpanan ibu sejak kecil bantu remaja 18 tahun ini tunai haji,  jadi jemaah termuda – 'Terima kasih mak'

“Saya sangat bersyukur. Terima kasih kepada mak dan ayah kerana banyak berkorban untuk saya sampai ke sini.

"Saya harap satu hari nanti dapat membalas jasa mereka,” katanya penuh rendah hati.

Dalam masa yang sama, remaja lelaki itu turut menitipkan satu pesanan yang cukup bermakna kepada ibu bapa di luar sana agar membuka peluang lebih awal kepada anak-anak untuk menunaikan ibadah haji dengan mendaftarkan simpanan sejak kecil.

“Saya sangat galakkan ibu bapa buka akaun Tabung Haji untuk anak-anak dari kecil. Bila simpanan dibuat awal, peluang untuk ke Tanah Suci juga lebih cepat,” ujarnya.