Mak tegas & jaga kepercayaan cikgu, Siti Nurhaliza kongsi pengalaman zaman remaja, nasihat buat Umairah- Cabaran saya dulu lagi 'tough'!'

EntertainmentLifestyle
4 Jun 2026 • 3:58 PM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

Image from: Mak tegas & jaga kepercayaan cikgu, Siti Nurhaliza kongsi pengalaman zaman remaja, nasihat buat Umairah- Cabaran saya dulu lagi 'tough'!'

ZAMAN remaja sepatutnya diisi dengan memori melompat girang bersama rakan sebaya, namun bagi penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, dunianya dahulu berputar ligat antara buku teks dan mikrofon.

Mengimbas kembali fasa bergelar pelajar sekolah yang dalam masa yang sama memikul status sebagai anak seni, beliau mengakui jadual hariannya sangat padat sehingga menguji ketahanan mental dan fizikal.

Bagaimanapun, tanggungjawab terhadap masa depan tidak pernah dipandang remeh, terutamanya apabila memikirkan peperiksaan penting seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang perlu ditempuh satu ketika dahulu.

Image from: Mak tegas & jaga kepercayaan cikgu, Siti Nurhaliza kongsi pengalaman zaman remaja, nasihat buat Umairah- Cabaran saya dulu lagi 'tough'!'

"Ketika mula menyanyi dulu, saya ada dua tanggungjawab sebagai pelajar dan juga sebagai anak seni.

"Jadi, saya tak nak dia (Umairah) ketinggalan. Antara dua-duanya penting, yang mana dia perlu fokus dulu sementara dia nak habiskan SPM dia, pada masa sama, menjadi pelajar yang bertanggungjawab juga," ungkap penyanyi kelahiran Kuala Lipis itu lagi.

Mesra disapa TokTi, Biduanita Negara itu turut menyifatkan disiplin adalah kunci utama untuk kekal bertahan dalam dua dunia yang berbeza itu.

Bukan mudah untuk mengerah keringat demi mengejar impian dalam industri hiburan tanpa mengetepikan pelajaran, malah beliau sendiri tidak menafikan betapa peritnya fasa tersebut.

Ditanya mengenai kepenatan yang terpaksa dilalui sewaktu usia remaja, beliau tertawa kecil namun nadanya penuh bermakna.

Image from: Mak tegas & jaga kepercayaan cikgu, Siti Nurhaliza kongsi pengalaman zaman remaja, nasihat buat Umairah- Cabaran saya dulu lagi 'tough'!'

"Bohonglah andai kata tidak penat, memang penat sangat. Tapi oleh kerana saya pun dalam masa yang sama, saya fikirkan. Pertama, mak saya memang sangat tegas. Mak tegas, anak ni akan ikut lah kan macam mana dia didik kita.

"Dan satu lagi, saya rasa tak naklah macam cikgu hilang kepercayaan. Dia (cikgu) dah bagi kepercayaan, okay Siti awak boleh pergi menyanyi tapi waktu sekolah jangan kita abaikan.

'Itu yang saya cuba buat masa zaman sekolah saya," kongsi beliau mengenang impak didikan keluarga dan sokongan warga pendidik.

Membandingkan zaman dahulu dan sekarang, beliau melihat landskap yang dilalui oleh Generasi Z pada hari ini sangat berbeza dan penuh dengan cabaran tersendiri yang tidak lagi sama.

Bagaimanapun, jika diukur daripada sudut ketahanan fizikal dan mental, beliau menganggap fasa yang dilaluinya dalam era serba kekurangan dahulu membentuk dirinya menjadi seorang yang sangat cekal.

Image from: Mak tegas & jaga kepercayaan cikgu, Siti Nurhaliza kongsi pengalaman zaman remaja, nasihat buat Umairah- Cabaran saya dulu lagi 'tough'!'

"Bohong lah kan sebab anak muda sekarang ni lain kan. Orang kata Gen Z ke, Gen Z kadang-kadang cabaran yang diorang hadapi tak sama macam cabaran say yang lagi tough.

"Sekarang ni mereka, macam Umairah melalui juga, cuma mungkin 50 peratus daripada apa yang saya lalui," katanya.

Kepentingan akademik

Melihat bakat muda seperti Umairah yang kini sedang mengikut jejak langkah dalam industri, beliau melahirkan rasa kagum terhadap kematangan penyanyi remaja itu yang disifatkannya sudah bersedia daripada awal.

Langkah Umairah yang bermula sejak kecil melalui platform Bintang Kecil dan dunia lakonan drama sedikit sebanyak memberi pendedahan awal tentang realiti sebenar kehidupan sebagai seorang anak seni.

Kelebihan berada di sekolah aliran muzik juga membantu Umairah mempraktikkan apa yang dipelajari terus ke atas pentas, namun pesan azimat tentang kepentingan akademik tetap menjadi keutamaan yang tidak boleh ditawar-tawar.

"Jadi sedikit sebanyak dia pun dah tengok saya bekerja. Dia dah ada dalam kepala dia preparation yang saya rasa macam okay, Mak Iti buat macam ni, kena buat macam ni.

Image from: Mak tegas & jaga kepercayaan cikgu, Siti Nurhaliza kongsi pengalaman zaman remaja, nasihat buat Umairah- Cabaran saya dulu lagi 'tough'!'

"Mereka tengok pun penat kan. Jadi, ini adalah masa dia lalui. Tapi saya harap sangat Umairah boleh seimbangkan pelajaran dan juga apa yang dia suka, dia cintakan iaitu jadi penghibur, kan. Sebab sekolah ni pun sekolah muzik.

'Apa yang dia belajar, dia praktikkan adalah di atas pentas yang dia berdiri sekarang. Cuma akademik tu, pelajaran tu yang utama," titip beliau kepada anak saudaranya itu.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam majlis pelancaran single terbaharu Umairah berjudul ‘Hujung Indah’. Untuk rekod, lagu tersebut merupakan hasil ciptaan bersama komposer muda, Firdaus Rahmat dan Iqie Hugh.

Image from: Mak tegas & jaga kepercayaan cikgu, Siti Nurhaliza kongsi pengalaman zaman remaja, nasihat buat Umairah- Cabaran saya dulu lagi 'tough'!'

Menambah portfolio seni anak kepada penyanyi Siti Saerah itu, Hujung Indah turut terpilih sebagai lagu runut bunyi (OST) bagi drama bersiri Bidadari Tanpa Syurga di platform Viu.