
Pentas Seni Merdeka kembali sebagai platfom di Kuala Lumpur bagi penggiat seni tradisional, budaya dan warisan negara dan serantau.
Platform ini menampilkan persembahan, bengkel dan aktiviti yang menekankan pemeliharaan dan penghayatan warisan budaya negara serta Asia Tenggara. Program pada tahun ini merupakan sebahagian daripada usaha peremajaan KLCCD, sebuah inisiatif Belanjawan 2023 di bawah naungan Kementerian Kewangan.

Musim kedua telah dilancarkan oleh Timbalan Menteri Ekonomi, YB Datuk Hajjah Hanifah Hajar Taib dan diiringi oleh Pengarah Urusan Think City, Hamdan Abdul Majeed serta Timbalan Pengarah Kanan Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan & Sukan DBKL, Izwan Razif Salehapad.


Hanifah Hajar berkata; "Saya berbesar hati melihat kesinambungan Pentas Seni Merdeka dalam mencergaskan bandar dan memartabatkan masyarakat kita melalui seni budaya dan warisan. Program awam yang bersifat inklusif ini diharap dapat memupuk pertumbuhan ekonomi serta mewujudkan peluang pekerjaan dalam sektor kreatif yang dinamik.
"Selaras dengan aspirasi kerangka ekonomi Malaysia MADANI yang dilancarkan baru-baru ini, sektor ekonomi kreatif dan budaya adalah asas dalam usaha memacu Kuala Lumpur yang rancak. Dengan memanfaatkan warisan sejarah dan bakat tempatan, ia dapat meningkatkan daya tarikan dan daya saing Kuala Lumpur sekaligus meletakkannya sebagai destinasi kreatif global serta kuasa ekonomi.
"Daerah Kreatif dan Kebudayaan Kuala Lumpur, antara usaha lain yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia, dipertengahkan dalam perjuangan usaha ini, seperti kejayaan yang ditonjolkan oleh daerah-daerah kreatif lain di seluruh dunia. Marilah kita bersama memupuk sebuah bandar yang berkembang maju dengan menyemarakkan inovasi serta memacu pertumbuhan dan kemakmuran bandar untuk semua."

Pentas Seni Merdeka yang bermula pada 22 Julai hingga November 2023 merupakan inisiatif Think City, sebuah organisasi impak yang berdedikasi dalam menjadikan bandar raya lebih berdaya huni.

Inisiatif seni awam bulanan anjuran bersama Think City dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), bertujuan mempromosikan ekuiti sosial melalui pengaktifan ruang awam dan meningkatkan kedaya-hunian dan kelestarian keseluruhan Pusat Bandar Kuala Lumpur, seperti yang dimaktubkan dalam Pelan Induk Strategik Daerah Kreatif dan Kebudayaan Kuala Lumpur (KLCCD) yang dibangunkan secara bersama oleh Think City, DBKL, Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya, Jabatan Warisan Negara (JWN) dan Yayasan Hasanah pada 2019.
Pengaktifan ruang awam adalah penting dalam memastikan peluang rekreasi dan ekonomi yang sama dan mudah diakses untuk semua warganegara.


