'Maka akan terbongkar...' - ADUN Kota Siputeh dakwa Bersatu Perlis jadi mangsa pengkhianatan

LocalPolitics
9 Jul 2026 • 2:49 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 'Maka akan terbongkar...' - ADUN Kota Siputeh dakwa Bersatu Perlis jadi mangsa pengkhianatan
Tangkap layar hantaran Mohd Ashraf di Facebook.

ALOR SETAR – Bersatu Perlis didakwa telah menjadi mangsa percaturan politik dan pengkhianatan yang dilakukan oleh pihak tertentu sehingga menjejaskan kedudukan parti itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Siputeh, Mohd Ashraf Mustaqim menerusi hantaran di Facebook mendakwa, perkara itu sudah lama diketahui oleh ahli, namun memilih untuk sabar demi menjaga disiplin parti.

Menurutnya, pengkhianatan yang berlaku itu tidak mempunyai kaitan dengan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Maka akan terbongkar jua hakikat selama ini Bersatu yang tanggung percaturan khianat yang berlaku di Perlis kerana ketamakan individu dan juga aturan kuasa yang tiada kena mengena dengan Muhyiddin, yang kami (ahli Bersatu yang setia) selama ini dah lama tahu dan sabar kerana disiplin dalam satu rumah," tulisnya.

Mohd Ashraf turut mendakwa beliau sejak awal lagi tidak bersetuju dengan situasi di Perlis dan pernah menyuarakan bantahan terhadap tindakan yang disifatkannya sebagai pengkhianatan itu.

Beliau berkata, Bersatu terpaksa berdepan dengan situasi berkenaan demi mempertahankan kesatuan parti dan menghormati hubungan dalam Perikatan Nasional (PN).

Dalam hantaran sama, beliau turut mendakwa terdapat pihak tertentu yang cuba melemahkan Bersatu dari dalam selain menyifatkan parti itu di Perlis kini telah lumpuh apabila ramai ahlinya didakwa menyertai kumpulan yang dianggap mengkhianati PN.

Beliau dalam hantaran tersebut mengakhiri kenyataannya dengan menyerahkan segala-galanya kepada ALLAH SWT.

"Tak apa...Masa akan jadi penentu. ALLAH Maha Adil," tulis beliau.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved