
Tuaran: Makanan warisan tradisional Sabah yang semakin jarang dinikmati generasi muda, kini diangkat dan menjadi sebahagian daripada pengisian program Festival Citarasa Warisan @ Sabah (FCRW@S).
Ia bersempena Festival Kebudayaan Rumpun Bajau Sama Sabah menerusi segmen 'Mari Dengar – Perkongsian Ilmu Mengenai Makanan Yang Hampir Pupus' anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia melalui Jabatan Warisan Negara (JWN), dengan kerjasama Persatuan Suara Buluh Perindu Sabah di Pusat Kebudayaan Rumpun Bajausama Kampung Lok Batik, Khamis.
Menurut Penolong Pengarah Kanan Bahagian Warisan Tidak Ketara Jabatan Warisan Negara, Somira Abdul Rahman sesi perkongsian ilmu itu menampilkan Dr. Mohammad Halim Jeinie dari Fakulti Pengurusan dan Pelancongan, UiTM Cawangan Sabah sebagai panel jemputan serta dari Pensyarah Universiti Malaysia Sabah (UMS) Prof. Dr. Asmiyati Ahmad sebagai moderator.
window.googletag = window.googletag || {cmd: []};googletag.cmd.push(function() {googletag.defineSlot('/22826383987/dailyexpress_inline', [1, 1], 'gpt-passback').addService(googletag.pubads());googletag.enableServices();googletag.display('gpt-passback');});Katanya, sesi selama sejam itu membincangkan secara mendalam keunikan makanan tradisional Sabah yang kian pupus termasuk nilai sejarah, budaya dan identiti etnik yang terkandung di sebaliknya.
“Program ini bukan sekadar menyentuh hal-hal kulinari, tetapi juga untuk menyemarakkan kesedaran dalam kalangan rakyat Malaysia tentang kepentingan melindungi dan memartabatkan warisan tidak ketara negara, khususnya makanan tradisional etnik tempatan.
“Pengiktirafan makanan Sabah seperti Hinava/Umai, Kuih Cincin, Ambuyat/Pinantung, Tompe’/Tinompeh dan Nonsom Bambangan sebagai Warisan Kebangsaan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645) merupakan bukti nilai dan kedudukan penting makanan warisan dalam khazanah negara.”
“Penganjuran festival seperti ini bukan sahaja memperkukuh sektor pelancongan dan kebudayaan, malah membuka ruang penyatuan antara kaum melalui rasa — sesuatu yang cukup kuat dalam membina jati diri dan perpaduan nasional.
“JWN turut berharap program ini menjadi titik pertemuan rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang dan budaya dalam usaha memahami dan menghayati Warisan Kebudayaan Tidak Ketara dengan lebih mendalam,” katanya.
JWN, tambahnya, juga menyasarkan untuk memperluaskan program seumpama ini ke seluruh negara dengan memperkukuh kerjasama strategik bersama pelbagai pihak termasuk komuniti akar umbi, institusi pendidikan dan pertubuhan bukan kerajaan.
“Paling utama, kami berharap program seperti ini dapat berjalan dengan lancar dan mendapat sokongan menyeluruh daripada semua pihak berkepentingan, demi memastikan warisan kita terus dipelihara untuk generasi akan datang,” tambahnya.

