
PETALING JAYA: Syarikat penyedia perkhidmatan hiasan dalaman, The Makeover Guys menjalin kerjasama strategik bersama RHB Bank Berhad (RHB Bank) bagi memperkenalkan Makeover Flexi Loan.
Kemudahan pembiayaan bersepadu berkenaan membolehkan pelanggan membiayai pembelian dan pengubahsuaian rumah secara serentak di bawah satu fasiliti.
Menerusi kemudahan pembiayaan tunggal berserta ciri Full Flexi itu, pelanggan yang layak berpeluang menerima margin pembiayaan sehingga 120 peratus daripada nilai keseluruhan hartanah.
Peratusan pembiayaan berkenaan merangkumi sehingga 90 peratus bagi pembelian hartanah, manakala tambahan sehingga 30 peratus dikhususkan untuk kerja-kerja ubah suai, Jaminan Insurans Pembiayaan Perumahan Kadar Berkurang (MRTA/MRTT), serta kos guaman dan dokumentasi.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif The Makeover Guys, Gavin Liew berkata, inisiatif berkenaan diperkenalkan bagi membantu pembeli rumah yang kerap berdepan kekangan kewangan bagi kos pengubahsuaian sebaik sahaja menerima kunci kediaman.
“Kos ubah suai kediaman kebiasaannya menelan perbelanjaan antara RM50,000 hingga RM150,000 mengikut jenis hartanah, dan ramai pembeli tidak bersedia dengan perbelanjaan tambahan tersebut secara serta-merta.
“Senario ini menyebabkan sesetengah pemilik menangguhkan kemasukan ke rumah baharu atau melakukan pengubahsuaian secara berperingkat. Makeover Flexi Loan membolehkan pemilik merancang pembelian dan ubah suai serentak sejak hari pertama,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Ketua Pembiayaan Pengguna Perbankan Komuniti Kumpulan RHB Bank Berhad, Sien Vee Loc berkata, pengenalan produk berkenaan berupaya merapatkan jurang antara pembiayaan hartanah dan pengubahsuaian yang sebelum ini diuruskan secara berasingan.
“Pasaran perumahan menyaksikan perkembangan keperluan pembeli yang mahukan penyelesaian pembiayaan menyeluruh.
“Kerjasama bersama The Makeover Guys menggabungkan kepakaran pembiayaan RHB dan khidmat ubah suai dipercayai untuk memenuhi permintaan pasaran yang kian meningkat,” katanya.
Menurut data pasaran, sektor kediaman kekal sebagai penyumbang terbesar pasaran hartanah negara pada suku pertama 2026, merangkumi 58.8 peratus daripada keseluruhan transaksi membabitkan hampir 53,000 transaksi bernilai lebih RM22 bilion.
Di samping itu, pasaran pengubahsuaian dan penambahbaikan kediaman di Malaysia yang bernilai RM47.7 bilion pada 2024 diunjur terus meningkat kepada RM59.2 billion menjelang 2029.
Menerusi kemudahan baharu itu, pengeluaran dana pengubahsuaian akan dilakukan secara berperingkat mengikut kemajuan kerja kontraktor bagi memastikan kelancaran projek untuk pemilik kediaman mahupun pelabur hartanah.
Tempoh pembiayaan yang ditawarkan adalah sehingga 35 tahun atau sehingga peminjam mencapai umur 70 tahun, bergantung pada yang mana-mana terdahulu.
Pelanggan juga dapat mengakses perkhidmatan hiasan dalaman komprehensif daripada The Makeover Guys merangkumi sesi konsultasi, rekaan dalaman khas, pengurusan projek, hingga peringkat pembinaan. – UTUSAN
The post Makeover Flexi Loan bantu pembeli biayai rumah, kos ubah suai appeared first on Utusan Malaysia.
