KUALA SELANGOR - Nama Puncak Alam sekali lagi dikejutkan dengan serbuan membabitkan sebuah makmal memproses dadah berskala besar selepas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM2.4 bilion, Ogos lalu.
Lebih mengejutkan, kejayaan membongkar makmal haram itu menjadi kes ketiga rampasan dadah berskala besar yang direkodkan di kawasan Puncak Alam dalam tempoh tujuh tahun.
Sebelum ini, pada Ogos 2019, sebanyak 3,667 kilogram dadah jenis kokain dan ketamin bernilai RM676 juta dirampas dalam dua serbuan, termasuk di sebuah premis di Puncak Alam.
Kes kedua pula berlaku pada Januari 2025 apabila polis membongkar makmal haram di Taman Industri Alam Jaya, Puncak Alam dan merampas 832.9 kilogram pelbagai jenis dadah bernilai hampir RM118 juta, selain senjata api dan peluru.
Terbaharu, JSJN Bukit Aman pada 15 Ogos lalu menyerbu sebuah premis di kawasan perindustrian Bandar Puncak Alam yang dijadikan makmal memproses serta menyimpan dadah.
Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, operasi dikenali sebagai Op Eumenes itu dijalankan selepas polis melakukan risikan selama kira-kira tiga hingga empat bulan.
"Serbuan membabitkan enam siri operasi di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur membawa kepada penahanan lima suspek berusia antara 29 hingga 43 tahun.
"Antara rampasan utama ialah 7,097.40 kilogram cecair MDMA dan 6,069.31 kilogram serbuk MDMA, selain ganja, pil Erimin 5, ketamin, pil yaba dan methamphetamine.
"Nilai keseluruhan rampasan mencecah RM2.4 bilion dan ia bukan sahaja terbesar untuk tahun ini, malah antara yang terbesar dalam beberapa tahun kebelakangan," katanya dalam sidang media di Puncak Alam di sini pada Rabu.
Beliau pada masa sama memberi peringatan kepada pemilik premis supaya tidak mengambil mudah terhadap aktiviti yang dijalankan penyewa.
"Pemilik mempunyai tanggungjawab untuk mengetahui tujuan premis mereka disewakan dan tidak boleh mengambil sikap lepas tangan sekiranya ia disalahgunakan," katanya.
Dalam perkembangan sama, Hussein berkata, pemilik asal kilang berkenaan turut disiasat kerana sepatutnya mengetahui aktiviti perniagaan yang dijalankan di premis miliknya.
Menurutnya, premis terbabit akan disita dan dijadikan sebahagian daripada harta yang boleh dilucutkan menerusi tindakan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.






