Malacca Securities jangka keadaan makroekonomi semasa tidak jejas pengeluaran OM Holdings
azan
01/08/2023 - 12:53
KUALA LUMPUR 1 Ogos - Malacca Securities menjangkakan operasi OM Holdings Ltd. kekal stabil selepas dilihat keadaan makroekonomi utama yang berlaku ketika ini tidak menjejaskan pengeluaran produk mereka.
Firma itu berkata, segmen penerokaan dan perlombongan bijih mangan sedang menjalankan kerja-kerja pembaikan kejuruteraan untuk Kilang Ultra Fines.
Katanya, kumpulan akan melaksanakan perbelanjaan modal (capex) tambahan sebanyak AU$1.5 juta untuk menaik taraf ruang suapan pengelas dalam usaha untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran dengan tambahan 400 tan/jam.
Firma itu berkata, segmen peleburan menghasilkan pengeluaran yang lebih lemah pada separuh pertama tahun ini.
Katanya, di kilang peleburan utama di Taman Perindustrian Samalaju, Sarawak, kumpulan itu mencatatkan pengeluaran 59,598 tan ferrosilicon (FeSi), 122,927 tan aloi mangan dan 72,342 tan bijih sinter mangan.
Firma itu berkata, kemerosotan pengeluaran FeSi adalah disebabkan oleh satu relau sedang mengalami penukaran untuk menghasilkan aloi mangan, satu relau sedang menjalani penyelenggaraan utama berjadual dan dua relau lagi sedang menjalani penukaran untuk menghasilkan logam silikon.
"Kami menganggap bahawa harga bahan mentah mungkin terus menjadi normal apabila peserta pasaran terus berada di landasan dengan mengurangkan inventori mereka.
"Kami menganggap permintaan mungkin meningkat menjelang akhir 2023 dengan China melancarkan langkah rangsangan mereka untuk menyokong ekonomi," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma itu akan terus menyokong kumpulan itu sebagai antara peleburan ferroaloi kuartil kos terendah di rantau ini dengan kompleks peleburan Samalaju dikuasakan oleh kuasa hidro mesra amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) daripada perjanjian pembelian kuasa 20 tahun dengan Sarawak Energy dan menikmati pelepasan cukai selama 10 tahun.
Firma itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM2.86 sesaham. - DagangNews.com



