Malakoff berpotensi raih pendapatan sehingga RM20 juta susulan lanjutan PPA Prai Power - CGS International
herman
28/08/2024 - 12:07
KUALA LUMPUR 28 Ogos - CGS International mengunjurkan potensi pendapatan sehingga RM20 juta kepada Malakoff Corp Bhd susulan lanjutan perjanjian pembelian tenaga (PPA) antara anak syarikatnya, Prai Power Sdn Bhd dengan Tenaga Nasional Bhd (TNB) untuk tempoh selama setahun.
Firma penyelidikan itu juga melihat lanjutan PPA ini secara positif kerana ia menekankan nilai tambah berpotensi yang boleh diperoleh daripada loji jana kuasa gas kumpulan yang akan atau telah tamat tempoh.
"Walaupun tiada butiran diberikan mengenai bayaran tarif dan kapasiti di bawah lanjutan PPA baharu ini, kami menganggarkan potensi pendapatan daripada lanjutan selama satu tahun ini berada dalam lingkungan RM15 juta hingga RM20 juta.
"Ini bersamaan dengan peningkatan 6% hingga 8% kepada ramalan keuntungan bersih FY25 kami untuk Malakoff Corp.
"Ini berdasarkan anggapan pengurangan bayaran kapasiti sebanyak 75%-80% daripada ~RM156 juta yang diperoleh secara tahunan sebelum tamatnya PPA asal, dengan mengambil kira aset tersebut telah sepenuhnya susut nilai dan hutang telah dibayar sepenuhnya semasa tempoh PPA asal," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
CGS International dalam pada itu mengekalkan saranan 'Beli' Malakoff Corp atau Add pada harga sasaran RM1 sesaham dengan kelemahan harga saham sebagai peluang pengumpulan.

Jelas firma itu, lanjutan yang diterima anak syarikat Malkoff Corp ini juga menekankan mengenai lonjakan kelulusan pelaburan langsung asing (FDI) ke Malaysia.
"Ini khususnya dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E) dan baru-baru ini pusat data yang akan memacu peningkatan ketara dalam penggunaan tenaga dan memerlukan penggantian loji kuasa gas yang telah tamat/ akan tamat tempoh untuk sementara.
"Ia sehingga tender atau keputusan pelaburan akhir (FIDs) dibuat untuk loji kuasa hijau baharu yang kemudiannya akan memerlukan sekurang-kurangnya empat hingga lima tahun untuk siap," jelasnya.
Prai Power Sdn Bhd memperoleh lanjutan setahun PPA dengan TNB yang akan berkuat kuasa pada 1 September 2024, dan akan berlangsung sehingga 31 Ogos 2025, menurut makluman syarikat di Bursa Malaysia.
Dalam kenyataan berasingan, Malakoff Corporation menekankan PPA baharu akan membantu memastikan bekalan tenaga yang stabil dan boleh dipercayai untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat sambil meningkatkan keselamatan tenaga dengan margin rizab yang selamat dan mencukupi.
Perjanjian itu akan berlangsung selama satu tahun, dengan pilihan untuk melanjutkan tahun tambahan, bergantung pada keperluan sistem.
Tarikh operasi komersial untuk Prai Power dijangka pada 1 September 2024. - DagangNews.com



