amree23/10/2026 - 18:10 GAMBARAN bangunan loji WTE di Melaka. - Foto ihsan Minconsult Sdn Bhd Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 23 Okt – Malakoff Corporation Berhad melantik MMC Engineering Sdn Bhd (MMCE) untuk melaksanakan kerja-kerja penyambungan bekalan elektrik bernilai RM34.39 juta bagi projek loji penjanaan tenaga daripada sisa (WTE) di Sungai Udang, Melaka.
MMCE merupakan syarikat berkaitan MMC Corporation Berhad, iaitu pemegang saham utama Malakoff.
Menurut Malakoff, pelantikan itu dimuktamadkan menerusi perjanjian yang ditandatangani pada 23 Oktober 2026 antara anak syarikatnya, Sungai Udang WTE Sdn Bhd (SUWTE), dengan MMCE.
Kontrak bernilai RM34.39 juta termasuk cukai jualan dan perkhidmatan (SST) itu meliputi kerja mereka bentuk, membina, memasang, menguji dan menyediakan sistem penghantaran serta sambungan elektrik berkapasiti 33 kilovolt (kV) bagi projek berkenaan.
"Kerja berkenaan akan menghubungkan kemudahan WTE di Sungai Udang dengan Pencawang Masuk Utama (PMU) Cheng milik Tenaga Nasional Berhad (TNB), termasuk sistem kabel penghantaran bawah tanah serta kemudahan sambungan berkaitan," jelasnya.
Menurut makluman Malakoff kepada Bursa Malaysia, kerja itu dijadualkan siap pada 19 Mei 2029, tertakluk kepada pemenuhan syarat terdahulu oleh MMCE dan pengeluaran notis untuk memulakan kerja oleh SUWTE.
Transaksi itu diklasifikasikan sebagai urus niaga pihak berkaitan berulang (RRPT) selepas nilai terkumpul urus niaga antara kumpulan Malakoff dengan MMCE dalam tempoh berkaitan melebihi nisbah 1% berdasarkan penyata kewangan teraudit terkini bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025.

MMC Corporation merupakan pemegang saham utama Malakoff dan syarikat induk kepada MMCE. Sementara itu, SUWTE ialah syarikat yang diberi tanggungjawab melaksanakan projek berkenaan dan merupakan sebahagian daripada kumpulan Malakoff.
Pengarah Bukan Bebas Bukan Eksekutif Malakoff, Datuk Mohd Nazrul Izam Mansor, dikenal pasti mempunyai kepentingan dalam transaksi itu kerana beliau turut memegang jawatan pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MMC.
Sehubungan itu, beliau telah menarik diri dan akan terus berkecuali daripada semua perbincangan serta pengundian berkaitan urus niaga berkenaan.
Malakoff berkata pelantikan MMCE menyokong pelaksanaan skop sambungan elektrik projek mengikut jadual serta aktiviti penjanaan pendapatan kumpulan. Transaksi itu dilaksanakan dalam urusan perniagaan biasa, pada terma komersial biasa dan secara saksama.
Lembaga Jawatankuasa Audit dan Pengurusan Risiko Malakoff berpandangan perjanjian itu adil dan munasabah, serta tidak menjejaskan kepentingan pemegang saham minoriti.
Urus niaga berkenaan juga tidak dijangka memberi kesan material buruk terhadap aset bersih, pendapatan sesaham atau penggearan kumpulan dan tidak memerlukan kelulusan pemegang saham atau pihak berkuasa berkaitan. - DagangNews.com


