johardy09/10/2026 - 18:01 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 9 Okt - NuEnergy Holdings Berhad memperoleh kontrak bagi membina kemudahan sambungan elektrik untuk projek loji janakuasa berkapasiti 120 megawatt (MW) di Labuan sebagai langkah memperluas penglibatannya dalam sektor infrastruktur kuasa voltan tinggi.
Kontrak bernilai kira-kira RM10.1 juta itu dianugerahkan oleh KAB Energy Holdings Sdn Bhd, dengan projek disasarkan siap pada suku ketiga 2027.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, NuEnergy berkata, pihaknya menerima surat anugerah tersebut pada 9 Oktober 2026.
Skop kerja merangkumi reka bentuk, pembinaan, pemasangan, pengujian dan pentauliahan kemudahan sambungan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) bagi projek loji janakuasa Labuan serta kemudahan berkaitannya milik Rancha Power Sdn Bhd.
NuEnergy menjangkakan kontrak itu menyumbang secara positif kepada keuntungan dan aset bersih sesaham kumpulan sepanjang tempoh pelaksanaan projek, selain menambah jumlah kontrak dalam tangan.
Menurut syarikat itu, projek berkenaan menyokong strategi peluasan kumpulan dalam sektor voltan amat tinggi (EHV) dan kemudahan sambungan elektrik.
Sasar projek infrastruktur kuasa lebih besar
NuEnergy berkata, kejayaan menyiapkan projek tersebut akan membuktikan keupayaan teknikal dan pelaksanaannya dalam membina infrastruktur EHV serta kemudahan sambungan yang kompleks.
Rekod prestasi itu dijangka mengukuhkan kedudukan kumpulan untuk membida projek penghantaran elektrik, infrastruktur kuasa dan projek voltan tinggi lain yang lebih besar, selaras dengan strategi pertumbuhan jangka panjangnya.
Syarikat itu menyifatkan risiko projek sebagai risiko operasi biasa bagi kerja seumpamanya, dengan langkah mitigasi merangkumi pematuhan prosedur operasi standard, kawalan kualiti dan keselamatan, pemantauan jadual serta kos projek dan perlindungan insurans.
Kontrak tersebut tidak melibatkan penerbitan saham baharu dan tidak memberi kesan kepada modal saham NuEnergy atau pegangan pemegang saham utamanya.
Tiada pengarah, pemegang saham utama atau pihak yang berkaitan dengan mereka mempunyai kepentingan langsung atau tidak langsung dalam kontrak itu, menjadikannya bukan transaksi pihak berkaitan.
Lembaga pengarah NuEnergy berpandangan bahawa penerimaan kontrak tersebut adalah demi kepentingan terbaik kumpulan selepas mempertimbangkan semua aspeknya. - DagangNews.com






