Malam gemilang Lailatul Akmal Awiss, dulu cuma ada RM20, kini mampu taja RM10,000

LocalBusiness & Finance
10 Aug 2026 • 11:00 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Malam gemilang Lailatul Akmal Awiss, dulu cuma ada RM20, kini mampu taja RM10,000

MASIH segar dalam ingatan Lailatul Akmal Awiss Juharin ketika dia mendapatkan bantuan daripada Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Infak (Wazan) Universiti Putra Malaysia (UPM) kerana kesempitan wang, duit dalam akaunnya ketika itu hanya berbaki RM20.

Walaupun berada di titik terendah dalam hidupnya, pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Sains Pertanian di UPM, Serdang ini mencuba sedaya upaya kerana tidak mahu menyusahkan ibu dan bapanya kerana sedar mereka bukan orang senang, malah adik-adik di bawahnya lagi memerlukan perhatian.

“Pada ketika itu saya sangat buntu dan terdesak memerlukan wang untuk meneruskan kehidupan di UPM. Syukur pihak Wazan menerima permohonan saya dan mereka memberikan bantuan kecemasan sebanyak RM300.

“Bukan itu sahaja, di sini juga menjadi titik tolak kepada saya untuk bergelar usahawan apabila Wazan memanjangkan kes saya kepada pihak Pusat Pembangunan Keusahawanan & Kebolehpasaran Graduan (CEM) UPM untuk diberi peluang dalam bidang perniagaan.

“Hasil bantuan dan latihan CEM bersama syarikat Keropok Getel saya memulakan perniagaan dengan menggunakan jenama Warung Yamal yang kini diperluas dengan pelbagai produk makanan dan minuman,” katanya kepada K-Kampus.

Lailatul Akmal Awiss baru-baru ini diangkat sebagai penerima Anugerah Tokoh Siswa UPM pada Majlis Anugerah Naib Canselor (ANC) UPM.

Pada majlis yang berlangsung pada malam 26 Julai lalu turut menyaksikan, Lailatul Akmal Awiss atau lebih dikenali sebagai Yamal turut menerima dua lagi anugerah iaitu Anugerah Keusahawanan Putra dan Anugerah Khas Fakulti.

Image from: Malam gemilang Lailatul Akmal Awiss, dulu cuma ada RM20, kini mampu taja RM10,000
Naib Canselor UPM, Datuk Prof. Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd. Sadullah menyampaikan anugerah Tokoh Siswa UPM kepada Yamal pada majlis anugerah di sebuah hotel di Bangi baru-baru ini atas kecemerlangannya dalam kepimpinan, keusahawanan serta komitmen memperkasa kebajikan mahasiswa.

Jejaka kelahiran Ranau, Sabah itu kini mempunyai dua cawangan kedai makan yang beroperasi di dalam UPM dengan dibantu 17 orang staf, terdiri daripada pelajar dan orang luar.

“Sejujurnya saya tidak pernah terfikir akan mempunyai jenama perniagaan sendiri tetapi kini saya mampu memberi peluang pekerjaan kepada lebih 50 mahasiswa di UPM yang pernah bekerja dengan Warung Yamal.

“Bukan itu sahaja, hasil perniagaan ini juga membolehkan saya membantu keluarga di kampung,” ujar anak ketujuh daripada sembilan beradik ini.

Berkongsi mengenai minat berniaga terutamanya perusahaan makanan, Yamal memberitahu, ia bukanlah perkara baharu dalam hidupnya kerana sejak kecil dia membantu ibu bapanya berniaga di warung.

Perusahaan warung itu menjadi sumber rezeki utama keluarganya dan sedikit sebanyak ‘darah’ usahawan mengalir dalam diri Yamal.

“Seawal usia tujuh tahun saya telah membantu ibu dan ayah di warung dan dari situ minat dalam perusahaan makanan tumbuh. Saya melihat bagaimana keluarga saya bekerja keras mencari rezeki.

“Ketika menyambung pengajian Diploma Perniagaantani di UPM Kampus Bintulu, Sarawak, saya juga mengambil inisiatif sendiri menjual nasi di blok-blok kolej kediaman.

“Saya akan membawa nasi sebanyak 100 bungkus yang diambil dari pembekal luar untuk dijaja dari blok ke blok. Pendapatan juga lumayan kerana saya memperoleh keuntungan RM2 bagi setiap bungkus.

“Perusahaan nasi itu semakin maju dan saya memberi peluang pendapatan kepada kawan-kawan untuk menjadi runner bawa nasi itu ke setiap blok. Pada masa sama, saya juga berkolaborasi dengan kawan menjual keropok lekor di kafeteria,” cerita pelajar tahun akhir Fakulti Pendidikan itu.

Image from: Malam gemilang Lailatul Akmal Awiss, dulu cuma ada RM20, kini mampu taja RM10,000
Pemuda ini mengusahakan Warung Yamal di UPM yang menjual makanan dan minuman sekali gus memberi peluang kerja kepada mahasiswa-mahasiswa.

Setelah tamat belajar diploma, perniagaan itu juga terhenti di situ. Yamal tidak menyangka rezekinya telah tertulis di UPM Serdang sehingga mampu membangunkan jenama Warung Yamal berbekalkan pengalaman yang ada sehingga menjadi inspirasi para pelajar.

Meskipun sibuk menguruskan perniagaan, Yamal bijak mengimbangi pelajaran dan juga bergiat aktif dalam berpersatuan dengan memegang pelbagai jawatan penting seperti pernah menggalas tanggungjawab sebagai Presiden Majlis Perwakilan Fakulti Pengajian Pendidikan.

Bukan itu sahaja, Yamal juga pernah memegang amanah daripada pihak CEM sebagai Pengarah Program Biztalk untuk merangka pelbagai program yang menghimpunkan 40 usahawan pelajar UPM.

“Cabaran utama saya bukan modal kerana Warung Yamal ini bermula secara kecil-kecilan tetapi bagaimana saya menyeimbangkan tanggungjawab sebagai pelajar, menguruskan kewangan kedai dan membahagikan masa untuk jawatan-jawatan yang dipegang.

“Saya akan memastikan pelajaran menjadi fokus utama walaupun sibuk dalam perniagaan dan berpersatuan. Alhamdulillah setiap semester saya berjaya mengekalkan kecemerlangan keputusan peperiksaan.

“Kuncinya adalah jangan bertangguh, apa sahaja masalah atau kerja yang diberikan buat terus. Selain itu, disiplin juga penting untuk memastikan kita bergerak terus walaupun penat,” katanya yang berpegang kepada prinsip jangan tunggu sempurna untuk bermula.

Tambah Yamal, dalam sehari dia hanya tidur tiga atau empat jam kerana terlalu sibuk. Pada awalnya dia berasa mengantuk di dalam kelas tetapi lama-kelamaan sudah terbiasa dengan rutin itu.

Image from: Malam gemilang Lailatul Akmal Awiss, dulu cuma ada RM20, kini mampu taja RM10,000
Yamal (tengah) semasa menerajui Majlis Perwakilan Fakulti Pengajian Pendidikan (FPP) UPM.

Mengulas kejayaannya sebagai Tokoh Siswa UPM 2026 baru-baru ini, Yamal menzahirkan rasa syukur atas pengiktirafan yang diterima dan menyifatkan anugerah itu sebagai penghargaan kepada semua insan yang sentiasa menyokong perjalanan hidup serta perjuangannya sepanjang bergelar mahasiswa.

“Anugerah ini bukan sekadar satu penghargaan kepada diri sendiri tetapi juga pengiktirafan kepada semua orang yang sentiasa menyokong perjalanan saya, termasuk keluarga, pensyarah, pihak universiti, rakan-rakan dan seluruh pasukan Warung Yamal.

“Ketika nama diumumkan untuk menerima anugerah ini saya seakan tidak percaya, ingatan saya terus terimbau bagaimana saya pergi mendapatkan bantuan di bahagian hal ehwal pelajar kerana kekurangan wang dan kini sudah mempunyai Warung Yamal yang turut membuka peluang pendapatan kepada mahasiswa.

“Menerusi Warung Yamal, saya juga menjalankan khidmat komuniti bagi membalas jasa pelajar UPM yang menyokong perniagaan saya dengan memperuntukkan lebih RM10,000 untuk menaja pelbagai program kolej, fakulti dan masjid dengan pemberian air balang percuma serta makanan,” ujarnya yang bakal membuka kedai ketiga di dalam UPM dalam masa terdekat.

Image from: Malam gemilang Lailatul Akmal Awiss, dulu cuma ada RM20, kini mampu taja RM10,000
Yamal ketika memberikan pek makanan kepada Orang Asli dalam satu program.

Besar harapan Yamal untuk meluaskan rangkaian perniagaan Warung Yamal ke luar kampus dalam tempoh lima tahun akan datang bagi memenuhi permintaan daripada orang di luar sana.

“Kami menerima banyak komen di media sosial Warung Yamal yang meminta agar dibuka di luar kampus bagi memudahkan mereka mendapatkan pelbagai produk yang dijual,” katanya.

Selain itu, dia juga mahu memperluas program inkubator Warung Yamal dengan menekankan aspek berkaitan pembangunan keusahawanan yang memberi pendedahan kepada mahasiswa melalui pengalaman mengurus perniagaan sebenar, sekali gus melahirkan graduan yang berkemahiran, berdaya saing dan mampu mencipta peluang pekerjaan.

“Saya juga menjadi mentor kepada pelajar yang ingin membuka perniagaan dan turut dijemput sebagai panel untuk menceritakan berkenaan perniagaan yang dijalankan di dalam kampus.

“Ini adalah rentetan peranan saya sebelum ini sebagai Pengarah Program Biztalk, impaknya sangat besar sehingga ada yang sudah bergelar usahawan dan membuka kedai sendiri,” katanya yang turut merancang untuk menyambung pengajian ke peringkat ijazah sarjana dan bergelar pendidik selepas tamat belajar.

Mengakhiri bicara, Yamal meninggalkan pesan kepada anak muda yang minat berniaga agar memulakan saja bisnes tanpa perlu banyak cakap dan takut kerana jika tidak bermula kita tidak akan tahu kelemahan dan di situlah usahawan muda akan berusaha mencari penyelesaian permasalahan yang timbul.

The post Malam gemilang Lailatul Akmal Awiss, dulu cuma ada RM20, kini mampu taja RM10,000 appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved