
PETALING JAYA – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh menyifatkan Allahyarham Mohd. Radzi Rahimi yang terkorban bersama tiga ahli keluarganya dalam kemalangan di Bentong sebagai sahabat sejati yang sentiasa bersamanya ketika susah dan senang.
Allahyarham Mohd. Radzi yang merupakan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Maran terkorban bersama isterinya, Nuriani Mohammad Jafri; anak mereka, Muhammad Rizz Hazim serta adik iparnya, Mohammad Nizam Mohammad Jafri.
Akmal berkata, berita pemergian empat beranak itu amat menyedihkan seluruh kepimpinan dan ahli Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia.
“Saya mewakili Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga.
“Semoga Allah SWT mengampunkan segala dosanya, menerima segala amalan beliau serta mengangkat darjatnya di sisi Allah SWT,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau turut mendoakan agar roh kesemua Allahyarham dan Allahyarhamah dicucuri rahmat serta ditempatkan dalam kalangan penghuni Syurga Firdaus.
Akmal dalam masa sama mengenang Mohd. Radzi sebagai sahabat yang dekat dengannya dan sentiasa hadir dalam pelbagai keadaan.
“Sahabat sejati saya yang akan sentiasa bersama susah dan senang,” katanya.
Terdahulu, empat mangsa dilaporkan maut selepas kenderaan jenis Ford Ranger Raptor dinaiki mereka dihempap pokok tumbang dalam kejadian di Bentong, Pahang.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd. Kahar berkata, kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu menyebabkan empat mangsa meninggal dunia.
“Mangsa yang maut ialah pemandu lelaki berusia 35 tahun, penumpang hadapan wanita bersama kanak-kanak lelaki berusia lima tahun dan penumpang belakang yang merupakan lelaki berusia 40 tahun.
“Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang duduk di bahagian belakang pula mengalami kecederaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Allahyarham Mohd. Radzi sahabat sejati bersama susah dan senang – Akmal appeared first on Kosmo Digital.






