“Malam Ni Letak Balik” - Premis Di Cyberjaya Disita Guna Ruang Parking Untuk Berniaga

30 Jun 2026 • 11:38 AM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

“Malam Ni Letak Balik” - Premis Di Cyberjaya Disita Guna Ruang Parking Untuk Berniaga

“Malam Ni Letak Balik” - Premis Di Cyberjaya Disita Guna Ruang Parking Untuk Berniaga

Tindakan beberapa premis makanan di sekitar Crystal Ville, Cyberjaya yang didakwa menggunakan petak parkir awam sebagai ruang meletakkan meja dan kerusi akhirnya mengundang tindakan penguatkuasaan daripada Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang).

MPSepang dalam satu kenyataan di Facebook semalam memaklumkan operasi bersepadu itu dijalankan oleh Unit Malam Zon Utara dengan kerjasama Unit Malam Zon Tengah dan Unit Task Force Utara.

Menurut kenyataan itu, operasi tersebut dilaksanakan bagi tujuan pemantauan serta tindakan terhadap premis yang meletakkan barangan perniagaan di petak parkir awam tanpa kebenaran.

Baca juga:

Katanya, langkah itu diambil bagi memastikan kawasan awam sentiasa berada dalam keadaan teratur, selamat dan tidak disalah guna sehingga menjejaskan kemudahan orang ramai.

“Hasil pemeriksaan mendapati empat premis telah diambil tindakan. Sebanyak empat Notis Kesalahan (NTK) dikeluarkan dan empat sitaan dilaksanakan terhadap premis yang melakukan kesalahan,” katanya.

Menurut MPSepang, tindakan itu diambil di bawah Seksyen 46(1)(d), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 kerana meletakkan barang berkaitan perniagaan di tempat awam.

Dalam pada itu, operasi berkenaan turut mencetuskan pelbagai reaksi pengguna media sosial yang menggesa pihak berkuasa memperluaskan pemeriksaan kepada aspek kebersihan premis.

Salah seorang pengguna Threads, @mxlxhzxxm berkata, pemeriksaan terhadap sistem perangkap minyak atau grease trap juga perlu diberi perhatian kerana banyak premis didakwa gagal menyelenggarakannya dengan baik.

“Grease trap pun kena check, premis ni semua tak maintain grease trap, habis paip kumbahan semua sumbat, sampai melimpah atas jalan sana sini, soal kesihatan jangan pandang ringan,” katanya sambil menyenaraikan beberapa lokasi lain yang didakwa berdepan isu sama.

Seorang lagi penduduk Cyberjaya, @stuartelpaso pula menyifatkan tindakan tersebut agak lewat memandangkan keadaan itu didakwa sudah lama berlaku.

“Hahahaha dah berzaman kedai ni dan beribu kedai mamak lain kat Cyber ni ambil ruang parking buka meja, baru nak ambil tindakan ke MPS.

“And yes wayang je, malam ni dia letak balik kerusi meja tu,” katanya.

Dalam masa sama, seorang lagi pengguna, @golemnnn berpendapat pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga perlu turun padang melakukan pemeriksaan kebersihan.

“KKM kena check sekali diorang tu. Kalau sawadde tu yaRabbi kotornya,” katanya.

MPSepang dalam kenyataan sama menegaskan tindakan penguatkuasaan akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan semua premis mematuhi peraturan dan tidak menyalahgunakan ruang awam.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved