MPKS tutup dua kilang kitar semula plastik haram di Jeram

LocalEnvironment
26 Jun 2026 • 10:39 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

MPKS tutup dua kilang kitar semula plastik haram di Jeram

SHAH ALAM, 26 JUN: Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) menutup dua kilang memproses barangan kitar semula plastik yang beroperasi tanpa kebenaran dalam Operasi Bersepadu di sekitar Jeram, semalam.

Menurut MPKS, operasi membabitkan 26 pegawai dan anggota pelbagai agensi bertujuan membanteras aktiviti kilang haram selain memastikan pematuhan terhadap syarat pelesenan serta peraturan yang berkuat kuasa.

“Hasil pemeriksaan mendapati dua premis beroperasi tanpa lesen yang sah dan kedua premis itu dikompaun serta diarahkan menghentikan operasi dan ditutup oleh Jabatan Penguatkuasa MPKS,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

MPKS memaklumkan operasi itu dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Kawalan Bangunan MPKS, Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Selangor, Pengurusan Air Selangor serta Tenaga Nasional Berhad (TNB) Kuala Selangor.

Pelbagai peralatan dan jentera turut disita, antaranya trak angkat susun, mesin penimbang digital, mesin jahit guni elektrik, pam air, tong gas oksigen, set kimpalan dan jek manual.

Dalam operasi sama, Jabatan Kawalan Bangunan MPKS mengeluarkan dua notis pemberitahuan dan tawaran kompaun mengikut Seksyen 70(1), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133), manakala Pengurusan Air Selangor dan TNB turut mengambil tindakan termasuk pemotongan meter.

Sepanjang operasi, sebanyak dua premis diperiksa dan ditutup, selain empat kompaun serta empat notis dikeluarkan.

MPKS berkata pihaknya akan terus memperkukuh penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti perniagaan haram yang menyalahi undang-undang serta memberi kesan terhadap keselamatan, alam sekitar dan kesejahteraan penduduk.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved