
SETIAP kali tiba musim raya haji, penyanyi veteran Datuk Jamal Abdillah menjadi tumpuan. Menjalankan penternakan lembu di Bukit Merah, Kerian, Perak , penyanyi berusia 67 tahun itu membekalkan hampir 300 ekor haiwan untuk ibadah korban untuk Aidiladha tahun ini.
Memetik Beria Harian, permintaan diterima Raja Pop Malaya meningkat saban tahun.
"Alhamdulillah, tahun ini masuk tahun ketiga saya mengusahakan bekalan lembu korban. Setakat ini, permintaan mencecah antara 280 hingga hampir 300 ekor.
"Sehingga hari pertama Aidiladha (semalam), saya masih berdepan kekurangan bekalan kerana ada penghantaran yang perlu dibuat, termasuk ke Kelantan yang masih memerlukan tambahan bekalan.

"Alhamdulillah, tahun ini permintaan semakin meningkat berbanding sebelum ini," katanya kepada BH Online.
Dek memenuhi tempahan pelanggan yang luar biasa dari tiga negeri, pelantun Kekasih Awal dan Akhir itu menangguhkan ibadah korbannya sendiri ke hari raya ketiga.
"Tahun ini saya buat korban pada hari kedua atau ketiga kerana terlalu sibuk menguruskan penghantaran lembu ke lokasi lain.
"Malah, pada malam sebelum Aidiladha pun masih ada lori yang masuk selepas jam 12 tengah malam untuk mengambil bekalan dan dihantar ke lokasi tertentu.

"Selepas selesai solat sunat Aidiladha, penghantaran dibuat mengikut daerah dan jumlah yang ditetapkan. Jadi, saya memilih untuk melaksanakannya pada hari ketiga, insya-ALLAH," katanya.
Bapa kepada tujuh cahaya mata bersyukur isterinya, Datin Zai Izzati Khairuddin membantu sebahagian besar urusan logistik dan pengurusan perniagaan sementelah dia sibuk memenuhi tugas sebagai penghibur.
"Seperti yang semua tahu, kerjaya saya sebagai penyanyi memang sangat aktif.
"Musim perayaan ini sahaja saya baru selesai membuat persembahan di Kelantan, Kuala Lumpur dan Perak.
"Jadi, urusan mengendalikan penghantaran, permit dan segala perkara berkaitan banyak diuruskan oleh isteri saya," katanya.
Menurutnya, permintaan lembu korban tahun ini tidak terhad kepada negeri Perak tetapi beberapa negeri termasuk Kedah, Pahang, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Johor dan Kelantan.
Biarpun bisnes penternakan semakin maju, bapa kepada penyanyi terkenal Zaki Yamani dan Osama Yamani itu mengakui penternakan lembu yang diusahakan itu lahir daripada minat dan hobi.
Malah ia hanya sumber pendapatan tambahan di samping kerjaya nyanyian.
Pada masa sama, katanya, operasi penternakan berkenaan turut membantu memenuhi keperluan masyarakat mendapatkan bekalan lembu korban setiap kali Aidiladha.
"Buat masa ini operasi saya hanya tertumpu di Bukit Merah. Sebenarnya ini lebih kepada minat dan hobi, bukannya perniagaan utama saya.
"Kerjaya sebenar saya tetap dalam bidang nyanyian. Saya menyanyi dan itulah sumber rezeki utama saya," katanya.
Sekadar info, Jamal berkahwin dengan Zai Izzati pada 1 April 2017 dan dikurniakan lima anak iaitu Nur Azura Yamani, 7; El Isaac Yamani, 5; Iskandar Rayyan Yamani, 4, Rahil Laura Salsabila Yamani, 3, dan Magdalena Yamani, setahun.
Jamal juga memiliki dua lagi anak lelaki hasil perkahwinan terdahulunya iaitu Osama Yamani, 24, dan Ahmad Zaki Yamani, 19.
Sumber: Berita Harian






