Malam Tadi Saya Tak Lelap Tidur, Rupanya Pagi Ini Kapal Dinaiki Suami Dipintas – Isteri Dr Hafiz Sulaiman

8 Oct 2025 • 5:20 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

‘Malam tadi saya tak lelap tidur……’

Isteri kepada pakar perubatan yang juga delegasi Malaysia dalam misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition dan Thousand Madleens to Gaza (FFC x TMTG), Dr Hafiz Sulaiman, yang kini dilaporkan ditahan tentera Israel, mendedahkan detik akhir perbualannya bersama suami sebelum kapal dinaiki pasukan itu dipintas.

Dalam satu hantaran di media sosial,Siti Aminah Sulaiman memaklumkan bahawa beliau tidak dapat melelapkan mata sehingga jam 3 pagi, seolah-olah merasai sesuatu yang tidak kena.

“Malam tadi saya tak lelap tidur sampai jam 3 pagi, tak pasti kenapa, mungkin instinct seorang isteri. Rupanya pagi ini kapal yang dinaiki suami saya, Dr Hafiz Sulaiman, kena intercept komando,” katanya.

image is not available

Beliau berkata, mereka sempat melakukan panggilan video melalui aplikasi Telegram sebelum kapal terbabit memasuki kawasan berisiko tinggi atau Red Zone, dan ketika itu beliau sempat menitipkan beberapa pesanan penting kepada suaminya.

“Saya pesan supaya jangan tinggal zikir pagi dan petang. Suami ada beritahu dia tak ingat semua dalam senarai zikir, tapi dia sentiasa baca tiga Qul dan Ayatul Kursi. Saya ingatkan juga doa pelindung ini,” katanya sambil memetik doa tersebut.

image is not available

Beliau turut menasihatkan suaminya agar tidak membuat siaran langsung semasa kejadian bagi mengelakkan risiko keselamatan, memandangkan ada peserta misi terdahulu yang dicederakan selepas bertindak demikian.

“Saya beritahu suami bila nak kena intercept, kekal tenang dan banyakkan zikir. Ikut arahan kapten kapal.

“Saya ingatkan suami, semua yang dia buat ini adalah untuk perjuangan tanah barakah. Perjuangan ini bukan hanya untuk rakyat Palestin, tetapi untuk mempertahankan akidah dan kiblat pertama,” katanya.

Beliau turut menzahirkan rasa kagum terhadap pengorbanan rakyat Palestin yang kehilangan penglihatan, tangan dan kaki demi mempertahankan bumi suci itu, sambil mengingatkan suaminya agar bersabar dengan setiap ketentuan.

“Kalau jadi apa-apa di penjara, abang kena sabar ya,” katanya yang memaklumkan itu antara pesanan terakhir sebelum panggilan terputus.

Dalam hantaran sama, beliau turut menyeru rakyat Malaysia agar mendoakan keselamatan suaminya dan pasukan MyCARE yang kini berdepan situasi genting di perairan Gaza.

“Saya mohon semua doakan suami saya, Dr Hafiz Sulaiman, dan pasukan MyCARE yang sedang berjuang di atas kapal. Pada masa saya tulis ini, mereka sedang kena intercept oleh askar komando. Hasbunallah wa ni’mal wakeel,” katanya.

image is not available

Terdahulu, media melaporkan sembilan kapal FFC x TMTG telah dipintas sekitar 10.50 pagi waktu Malaysia ketika berada di perairan antarabangsa berhampiran Gaza.

Kesemua mereka menyertai misi ini bagi menyalurkan bantuan kemanusiaan serta mengumpul bukti pelanggaran hak asasi manusia oleh rejim Zionis terhadap rakyat Palestin.

Seramai lapan delegasi Malaysia menaiki kapal Conscience, termasuk Dr Hafiz Sulaiman, manakala seorang lagi wakil Malaysia berada di atas kapal layar Umm Saad.