Anak Bimbang Dapat Tahu Kapal Conscience Dipintas, Yakin Ibu Bapa Dalam Keadaan Selamat

Entertainment
8 Oct 2025 • 3:29 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Anak kepada dua delegasi Malaysia dalam misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition (FFC) X Thousand Madleens to Gaza (TMTG), Shamil Mohd Alauddin meluahkan rasa bimbang susulan kapal Conscience yang dinaiki ibu bapanya telah dipintas oleh tentera Zionis yang berlaku pagi tadi.

Menurut Shamil, 40, dia agak terkejut dengan perkembangan yang diterima namun pihak keluarga telah pun bersedia menghadapi berita berkenaan.

“Kami sempat buat panggilan video tengah hari semalam bersama ibu bapa. Mereka kelihatan tenang dan sihat. Kami tak sangka berita buruk akan sampai secepat ini.

“Kami memang tak menyangka apa yang berlaku terlalu cepat,” katanya.

Yakin ibu bapa selamat

Shamil bagaimanapun tetap yakin bahawa kedua ibu bapanya, Dr Fauziah Mohd Hasan dan Prof Emeritus Mohd Alauddin Mohd Ali dalam keadaan selamat dan mampu menghadapi situasi mencabar dengan tenang.

Setakat ini, pihak mereka masih menerima maklumat secara berperingkat menerusi WhatsApp Group yang diwujudkan oleh pihak MyCARE bersama semua waris delegasi.

image is not available

 

Shamil turut menyatakan mereka hanya menunggu panggilan daripada ibu bapanya kerana kedua-dua delegasi itu sering terlibat dengan latihan dan simulasi keselamatan di atas kapal.

“Sebagai anak, memang saya bimbang. Tapi saya juga tahu siapa ibu bapa saya. Mereka pergi dengan niat murni, dan insya-Allah, akan terus berpegang pada semangat perjuangan kemanusiaan,” katanya.

Katanya lagi, sekiranya ibu bapanya dibebaskan, mereka tetap meneruskan perjuangan membantu rakyat Palestin dan memperjuangkan isu kemanusiaan.

“Saya percaya mereka tidak akan berhenti setakat ini. Misi ini bukan sekadar perjalanan fizikal, ia adalah amanah jiwa dan prinsip,” ujarnya.

Kesemua waris delegasi kini berharap agar semua pihak memberi tekanan antarabangsa kepada Israel untuk memastikan pembebasan segera semua aktivis dan sukarelawan termasuk delegasi Malaysia.

Menurut laporan, sembilan buah kapal yang menyertai misi FFC x TMTG telah dipintas tentera Zionis.

Sumber: Astro Awani

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.