Malayan Flour Mills peruntuk RM215 juta perbelanjaan modal bagi FY25, RM160 juta kepada segmen ternakan ayam

LocalBusiness & Finance
19 May 2025 • 5:19 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Malayan Flour Mills peruntuk RM215 juta perbelanjaan modal bagi FY25, RM160 juta kepada segmen ternakan ayam

image is not available

19/05/2025 - 17:19

Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 19 Mei – Malayan Flour Mills Bhd (MFM) memperuntukkan perbelanjaan modal (capex) berjumlah RM215 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 (FY25), dengan RM160 juta disalurkan kepada segmen integrasi ternakan ayam.

Pelaburan RM160 juta itu akan dibiayai secara bersama oleh MFM dan rakan strategiknya dalam nisbah 51:49.

Timbalan Pengerusi Eksekutif merangkap Pengarah Urusan, Teh Wee Chye berkata, RM100 juta akan digunakan untuk memperluas dan menaik taraf infrastruktur ladang, termasuk pembinaan ladang induk dan pusat penetasan telur.

"Baki RM60 juta pula diperuntukkan bagi kerja-kerja penambahbaikan ladang sedia ada bagi meningkatkan produktiviti serta kecekapan rantaian bekalan.

"Sejumlah RM20 juta akan dilaburkan untuk automasi di kilang tepung kami di Lumut dan Pasir Gudang bagi mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga kerja manual, meningkatkan kecekapan serta menjamin kualiti produk yang konsisten," katanya dalam satu kenyataan selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-65 kumpulan.

Di Vietnam, MFM akan melabur RM34 juta, termasuk RM21 juta untuk peningkatan kapasiti dan naik taraf fasiliti kilang serta RM13 juta untuk pembinaan silo tepung dan kemudahan pengadunan di wilayah selatan.

MFM bekerjasama dengan syarikat pemproses dan pemasaran daging global, Tyson Foods bagi segmen ternakan ayam pada Mei 2021 bagi mengukuhkan pasaran Tyson dalam meningkatkan jualan, menembusi pasaran eksport serta mempertingkat kecekapan operasi.

Segmen pengilangan tepung dan perdagangan bijirin akan menerima pelaburan RM55 juta bagi memperluas kapasiti dan meningkatkan kecekapan di Malaysia dan Vietnam.

"Strategi ini bantu kami penuhi permintaan tepung dan produk berkaitan yang kian meningkat di Malaysia dan Vietnam," tambah Wee Chye.

Mengulas siasatan penetapan harga membabitkan syarikat usaha sama, Dindings Poultry Development Centre Sdn Bhd, Ketua Pegawai Kewangan, Alan Yau Tee Peng berkata, sesi pendengaran telah bermula dan masih berjalan.

"Sesi seterusnya dijadual hujung Jun. Kami akan lalui proses ini dan tunggu keputusan tribunal. Kami percaya tiada pelanggaran seperti didakwa Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) dan akan pertahan pendirian kami. Malahan, kami yakin denda RM70 juta itu tidak wajar," katanya.

MFM telah menyiapkan loji pemprosesan ayam berteknologi tinggi dengan kapasiti 280,000 ekor sehari dan boleh ditingkatkan kepada 340,000 ekor.

Produk ayam prosesannya dipasarkan di bawah jenama Ayam Dindings, Ayam Fiesta, Jimat Fiesta, dan DeliHous.- DagangNews.com

standard