Zoho jalin kerjasama strategik dengan Cradle, peruntuk RM44 Juta perkasa syarikat pemula tempatan

23/04/2025 - 10:51
Oleh 'AINA SYAZWINA
KUALA LUMPUR 23 April – Syarikat teknologi global, Zoho Corporation, telah memperuntukkan lebih RM44 juta dalam bentuk kredit Dompet Zoho bagi menyokong 4,400 syarikat pemula Malaysia, sebagai sebahagian daripada kerjasama strategik dengan Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle).
Menerusi kerjasama itu, Zoho akan memperluaskan program "Zoho for Startups" melalui platform "MYStartup Single Window" milik Cradle, sebuah hab bersepadu yang menyokong pengasas syarikat pemula pada pelbagai peringkat perjalanan perniagaan.
Malaysia menjadi negara kedua di ASEAN yang mendapat akses kepada program itu, seiring dengan misi global Zoho membekalkan sumber daya kepada syarikat pemula agar mereka dapat melancarkan dan mengembangkan perniagaan mereka.
Sebagai sebahagian daripada kerjasama itu, Zoho telah memperuntukkan lebih daripada RM44 juta bagi membolehkan 4,400 syarikat pemula tempatan mendapat akses kepada rangkaian lengkap aplikasi perniagaan.
Kerjasama strategik itu diumumkan semasa "MYStartup NXT", sebuah persidangan mikro yang berlangsung di Cyberjaya dan disaksikan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Chang Lih Kang.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Cradle, Norman Matthieu Vanhaecke berkata, kerjasama itu akan memberikan pengasas syarikat pemula akses mudah kepada penyelesaian perisian bertaraf dunia yang boleh memacu pertumbuhan perniagaan mereka.
"Kerjasama adalah tentang menjadikan perkara itu realiti, memberikan pengasas akses mudah kepada penyelesaian perisian bertaraf dunia yang boleh memacu lonjakan seterusnya.
"Melalui platform MYStartup Single Window, kami bukan sekadar menghubungkan syarikat pemula kepada alat dan sumber yang tepat, malahan peluang global dan membantu mereka membina perniagaan dengan yakin," katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Ketua Global Zoho for Startups, Kuppulakshmi Krishnamoorthy, menyatakan program ini beroperasi berdasarkan model 'tarikan' yang responsif kepada ekosistem permulaan, selari dengan strategi pertumbuhan Zoho di rantau ini.
"Malaysia semakin memberi tumpuan kepada landskap inovasin, yang diperkukuh oleh sokongan serta peruntukan daripada kerajaan dan dasar baharu yang telah diperkenalkan.
"Dengan pengalaman luas yang kami miliki dalam melaksanakan program Zoho for Startups di lebih 10 lokasi di seluruh dunia, termasuk India, kami yakin kerjasama ini akan menjadi antara yang paling memberi impak kepada Malaysia," katanya.
Sejak diperkenalkan pada 2017, program itu telah berinteraksi lebih 18,000 syarikat pemula di seluruh dunia melalui kerjasama dengan lebih daripada 200 inkubator, pemecut, dan organisasi pemerkasa syarikat pemula.
Peluang itu akan diperluaskan kepada syarikat pemula dalam ekosistem Cradle, merangkumi syarikat dari peringkat awal sehingga memperoleh pembiayaan Siri B.
Promosi akan dijalankan menerusi pelbagai platform termasuk WhatsApp, emel, program, dan media sosial bagi memastikan liputan dan penglibatan yang meluas.- DagangNews.com
standard



