Malayan United Industries jual Corus Hotel kepada pemaju hartanah tersenarai di Bursa Malaysia, kata sumber

LocalBusiness & Finance
7 Aug 2025 • 11:39 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Malayan United Industries jual Corus Hotel kepada pemaju hartanah tersenarai di Bursa Malaysia, kata sumber

image is not available

07/08/2025 - 11:39

KUALA LUMPUR 7 Ogos - Malayan United Industries Berhad bakal memuktamadkan perjanjian untuk menjual Corus Hotel Hotel Kuala Lumpur kepada sebuah pemaju hartanah yang tersenarai di Bursa Malaysia, kata sumber rapat dengan perkara tersebut.

Difahamkan bahawa kumpulan itu dijangka memperoleh harga dalam lingkungan antara RM250 juta hingga RM280 juta bagi hotel bertaraf empat bintang itu yang terletak berhampiran Menara Berkembar PETRONAS.

Laporan tahunan terkini Malayan United Industries menyenaraikan nilai bawaan hartanah berkenaan pada RM287.69 juta, berdasarkan penilaian semula yang dijalankan pada Ogos 2022.

Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu mengumumkan penggantungan dagangan sekuritinya bagi hari ini sementara menunggu pengumuman penting dikeluarkan.

Selain aset hartanah, ia juga memiliki dan mengendalikan gedung serbaneka Metrojaya, manakala Pan Malaysia Corp Berhad memiliki francais A&W di Malaysia.

Corus Hotel Kuala Lumpur merupakan hotel 13 tingkat dengan 388 bilik bertaraf empat bintang yang terletak di atas tanah pegangan bebas seluas 0.6 hektar di kawasan elit Persiaran Hampshire, Jalan Ampang.

Hotel itu dahulunya dikenali sebagai Hotel Ming Court sebelum dijenamakan semula sebagai Corus Hotel pada tahun 2000, susulan pengambilalihan Regal dan County Hotels di United Kingdom oleh Malayan United Industries.

Selain Corus Hotel Kuala Lumpur, laporan tahunan kumpulan itu turut menunjukkan, syarikat itu memiliki Corus Hotel Hyde Park di London dengan nilai bawaan sebanyak RM932.54 juta.

Keluarga Tan Sri Khoo Kay Peng memiliki 43.26% pegangan saham dalam Malayan United Industries. Anaknya, Andrew Khoo Boo Yeow, kini mengetuai kumpulan tersebut sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Pengerusi.

Kumpulan itu mencatat kerugian selama lebih sedekad. Setakat akhir Mac, jumlah hutang bersih kumpulan berjumlah RM714.28 juta.

Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 31 Mac 2025 (9MFY25), kumpulan itu merekodkan kerugian bersih sebanyak RM58.33 juta, berbanding RM32.71 juta dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Pendapatan meningkat sebanyak 10.9% tahun ke tahun kepada RM369.09 juta daripada RM332.7 juta sebelum ini, disokong peningkatan dalam segmen pembangunan hartanah dan rangkaian makanan segera, yang mengimbangi penurunan dalam peruncitan dan operasi hotel. - DagangNews.com

standard