Malaysia Airlines mengumumkan akan memberikan perkhidmatan WiFi tanpa had percuma kepada semua penumpang yang menggunakan pesawat Boeing 737 Max 8 mereka menjelang penghujung 2024. Malaysia Airlines telahpun memberikan perkhidmatan WiFi percuma MHConnect untuk semua penumpang dalam pesawat Airbus A350-900, Airbus A330-300 dan Airbus A330-200 sejak November 2023.

Pada ketika ini Malaysia Airlines mempunyai empat pesawat Boeing 737 Max 8 dengan 21 lagi akan memulakan operasi menjelang 2026. Kesemua pesawat ini tidak lagi dilengkapi sistem hiburan dalam pesawat (IFE) bagi mengurangkan kos dan melihat trend penumpang yang kini lebih selesa menonton kandungan menerusi peranti pintar peribadi.
Ini adalah selari dengan konfigurasi kabin tanpa IFE yang dimulakan dalam pesawat Boeing 737-800 NG sejak 2022 lagi. Siri Boeing 737 ialah siri paling lama digunakan berterusan oleh Malaysia Airlines sejak 1972 dengan model Max 8 pula memulakan operasi sejak Ogos 2023. Berbanding model 737 yang lain, siri Max boleh membawa lebih banyak penumpang tetapi mengurangkan penggunaan bahan api menerusi enjin yang lebih efisien.


