Pemegang ‘Silver’ Paling Untung, Ini 4 Perkara ‘Frequent Flyer’ Macam Anda Kena Tahu
Malaysia Airlines Rombak Struktur Program Enrich Mulai 2026. Jika anda seorang frequent flyer dengan Malaysia Airlines, atau seseorang yang sentiasa memantau kutipan Enrich Points, ada berita besar untuk anda.
Mulai 1 Januari 2026, Enrich, program loyalty dan gaya hidup dari Malaysia Airlines, akan memperkenalkan struktur program yang telah dirombak semula.

Dalam dunia penerbangan, perubahan pada program loyalty selalunya disambut dengan debaran. Adakah ia akan jadi lebih baik? Atau sekadar ‘gimik’ pemasaran?
Menurut Enrich, rombakan ini adalah komitmen mereka untuk menawarkan lebih nilai, pengiktirafan, dan ganjaran yang lebih bermakna atas kesetiaan ahli.
Kami telah teliti perubahan ini. Jom kita ‘bedah’ 4 perubahan utama dan apa maksudnya untuk anda sebagai pengembara.
1. Poin Diberikan Berdasarkan Jumlah Ringgit yang Dibelanjakan
Perubahan paling jelas adalah cara anda mengumpul Enrich Points. Perubahan paling ketara adalah anda akan dapat lebih banyak poin untuk setiap Ringgit yang dibelanjakan.
Mulai 2026, struktur kutipan mata untuk penerbangan Malaysia Airlines dan Firefly adalah seperti berikut:
- Platinum: 2.5 Enrich Points (bagi setiap RM1)
- Gold: 2.2 Enrich Points (bagi setiap RM1)
- Silver: 1.8 Enrich Points (bagi setiap RM1)

Apa maksudnya untuk anda?
Ringkasnya, akaun anda akan lebih cepat ‘gemuk’ dengan poin. Ini bermakna anda boleh menebus (redeem) tiket penerbangan, seat upgrade, atau ganjaran gaya hidup lain dengan lebih pantas berbanding sebelumnya.
2. Jalan Pintas Naik Status (Terutamanya Untuk Kaki ‘Business Class’)
Elite Points adalah ‘mata ganjaran’ yang menentukan status anda (Silver, Gold, Platinum). Dulu, ramai yang rasa agak sukar untuk mengumpul Elite Points ini.
Kini, Enrich mengubah cara anda mendapatnya. Ahli kini boleh memperoleh lebih banyak Elite Points apabila terbang dengan Malaysia Airlines, Firefly, dan syarikat penerbangan ahli OneWorld.

Peningkatan paling ketara adalah untuk mereka yang terbang dalam Business Suite dan Business Class.
Enrich secara jelas memberi ganjaran lebih kepada mereka yang berbelanja untuk perjalanan premium. Jika anda sering terbang dalam Business Class untuk urusan kerja atau percutian, laluan anda untuk mencapai (atau mengekalkan) status Platinum atau Gold akan menjadi lebih mudah dan lancar.
3. Syarat Status Elite Dikemaskini
Sejajar dengan perubahan cara kutipan Elite Points, keperluan jumlah mata untuk setiap ‘tier’ juga telah disemak semula.
Enrich menyatakan ini adalah untuk “menyelaraskan dengan tingkah laku perjalanan yang sentiasa berubah dan peluang pendapatan yang diperluas.”

Walau bagaimanapun, beberapa cara ‘alternatif’ untuk mengumpul Elite Points masih kekal:
- Penebusan ‘Points + Cash’
- Seat upgrades
- Tempahan melalui Enrich Hotels
- Bagi pemegang Kad Kredit AmBank Enrich Visa, anda masih boleh mendapat ‘fast-track’ untuk mengekalkan atau menaik taraf status anda.
4. ‘Upgrade’ Paling Real Untuk Ahli Silver
Ini mungkin perubahan paling best untuk mereka yang baru bermula atau berada di ‘tier’ Silver. Selalunya, faedah untuk ‘tier’ permulaan ini agak terhad.
Mulai 2026, ahli Silver akan menikmati dua faedah baharu yang sangat praktikal:
- Elaun bagasi tambahan 10kg
- Pengendalian bagasi keutamaan (priority baggage handling)
Ini adalah satu ‘upgrade’ besar. Faedah priority baggage (beg anda keluar dahulu di karusel) selalunya dikhaskan untuk ‘tier’ Gold ke atas. Dengan memberikannya kepada ahli Silver, Enrich memberi pengiktirafan yang lebih bermakna dan praktikal, menjadikan pengalaman perjalanan anda lebih selesa walaupun anda bukan di ‘tier’ tertinggi.
Mengapa Perubahan Ini Dibuat?
Menurut Philip See, Ketua Pegawai Eksekutif Loyalty & Travel Services dari Malaysia Aviation Group (MAG), struktur yang ‘fresh‘ ini direka untuk memberi nilai yang lebih besar.
Beliau berkata, “Struktur yang diperbaharui ini memberikan nilai yang lebih besar melalui perolehan Enrich Points yang dipertingkatkan, membolehkan ganjaran yang lebih besar dan pantas.”
Beliau juga menambah bahawa perubahan pada kutipan Elite Points (terutamanya untuk Business Class) adalah untuk “mengiktiraf perjalanan premium dengan adil.”
Secara keseluruhannya, langkah ini dilihat sebagai strategi Enrich untuk kekal kompetitif dan memastikan program ini memberi ganjaran yang adil, sama ada anda seorang pengembara premium atau seseorang yang baru mula mendaki ‘tier’ kesetiaan.
Untuk maklumat penuh tentang semua kemas kini ini, anda boleh layari laman web rasmi Enrich.
Pada tahun lalu, kru penerbangan Malaysia Airlines juga diiktiraf sebagai antara 10 kru penerbangan terbaik dunia:
Malaysia Airlines Diiktiraf Sebagai Kabin Kru Ke 10 Terbaik Di Dunia 2024
Ramai Baru Tahu, Rupanya Boleh Tuntut ‘Voucher Dinner’ Malaysia Airlines Jika Flight Tertangguh


