Malaysia Airlines sambung semula penerbangan terus Kuala Lumpur-Kertajati

31 Oct 2023 • 10:03 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Malaysia Airlines sambung semula penerbangan terus Kuala Lumpur-Kertajati

zulfadli

31/10/2023 - 10:03

KUALA LUMPUR 31 Okt - Malaysia Airlines meraikan penyambungan semula penerbangan terusnya antara Kuala Lumpur ke Kertajati, Indonesia dengan acara pelepasan di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Syarikat penerbangan itu memaklumkan, penerbangan MH0845 berlepas ke Kertajati pada 6.25 petang waktu tempatan, semalam.


Katanya, penumpang disambut dengan hospitaliti Malaysia dan menerima cenderahati daripada Malaysia Airlines semasa berlepas.

"Dengan penyambungan semula perkhidmatan itu, Malaysia Airlines mengukuhkan sambungan langsungnya di Indonesia kepada tujuh bandar, termasuk Jakarta, Denpasar, Medan, Yogyakarta, Pekanbaru, dan Surabaya," katanya dalam kenyataan media di sini.

Menurut kenyataan itu, penerbangan ke Kertajati akan dikendalikan pesawat Boeing 737-800NG syarikat penerbangan itu dua kali seminggu.

Katanya, sebagai sebahagian daripada usaha untuk memastikan kemudahan hujung ke hujung yang lancar untuk penumpangnya, Malaysia Airlines juga menyediakan perkhidmatan ulang-alik percuma bagi perjalanan antara Lapangan Terbang Antarabangsa Kertajati ke bandar Bandung.

"Perkhidmatan harian akan tersedia sehingga 31 Disember 2023. Pengambilan akan berada di Balai Ketibaan (Lapangan Terbang Antarabangsa Kertajati) pada pukul 9 malam dan tiba di Pasteur, Bandung (bertentangan dengan Hotel Aston) pada pukul 10.30 malam.

image is not available
Ketua Pegawai Operasi Malaysia Airlines, Kapten Nasaruddin A Bakar (kiri) dan Ketua Pegawai Komersial Syarikat Penerbangan (MAG), Dersenish Aresandiran (kanan) mengedarkan cenderahati kepada penumpang yang berlepas ke Kertajati di KLIA pada 30 Oktober 2023.

image is not available

"Manakala perkhidmatan ulang-alik dari Bandung akan berlepas pada pukul 5 petang dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kertajati pada pukul 6.30 petang," katanya. - DagangNews.com