Malaysia antara 60 negara dikenakan tarif import baharu AS

LocalBusiness & Finance
24 Jul 2026 • 10:35 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Malaysia antara 60 negara dikenakan tarif import baharu AS

SHAH ALAM, 24 JULAI: Amerika Syarikat (AS) mengenakan tarif import baharu 10 peratus terhadap Malaysia bermula hari ini atas alasan negara ini gagal menguatkuasakan larangan terhadap pengimportan barangan yang dihasilkan melalui buruh paksa, menurut Pejabat Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR).

Malaysia antara 60 rakan dagang yang dikenakan tarif antara 10 hingga 12.5 peratus menerusi tindakan di bawah Seksyen 301 Akta Perdagangan 1974.

"Kadar 10 peratus merupakan kadar duti Seksyen 301 yang sesuai bagi ekonomi yang disiasat dan (i) mengenakan larangan import terhadap barangan yang dihasilkan melalui buruh paksa; (ii) memberikan komitmen untuk mengenakan serta menguatkuasakan larangan sedemikian menerusi Perjanjian Perdagangan Timbal Balik; atau (iii) melaksanakan rejim separa yang berkesan menghalang pengimportan barangan tertentu yang dihasilkan melalui buruh paksa," kata kenyataan itu.

Pada April tahun lalu, pentadbiran Presiden Donald Trump mengumumkan tarif timbal balik 24 peratus ke atas import dari Malaysia, namun pelaksanaannya dibatalkan Mahkamah Agung Amerika Syarikat pada Februari lalu selepas memutuskan presiden tidak mempunyai kuasa mengenakannya di bawah Akta Kuasa Ekonomi Kecemasan Antarabangsa (IEEPA), sebelum digantikan dengan tarif sementara 10 peratus selama 150 hari.

https://theedgemalaysia.com/node/750103?utm_source=chatgpt.com

Turut dikenakan tarif 10 peratus ialah Argentina, Bangladesh, Kemboja, Kanada, Ecuador, El Salvador, Guatemala, Honduras, India, Indonesia, Jordan, Mexico, Pakistan, Sri Lanka, Trinidad dan Tobago serta United Kingdom.

Reuters melaporkan pusingan tarif itu dilihat sebagai sebahagian daripada strategi pentadbiran Trump bagi menggantikan tarif terdahulu yang dibatalkan mahkamah, walaupun USTR menegaskan tindakan berkenaan dibuat susulan siasatan terhadap amalan buruh paksa dalam rantaian bekalan negara terbabit.

Bekas Ahli Parlimen Klang Charles Santiago sebelum ini mengingatkan Malaysia berdepan risiko dikenakan tarif baharu sekiranya kerajaan tidak mengambil tindakan terhadap aduan berkaitan buruh paksa di negara ini.

Pada masa sama, USTR memaklumkan beberapa produk tertentu dari Malaysia dikecualikan daripada tarif berkenaan bagi menggalakkan negara ini memenuhi komitmen menguatkuasakan larangan import terhadap barangan yang dihasilkan melalui buruh paksa.

Selain Malaysia, pengecualian sama turut diberikan kepada produk tertentu dari Argentina, Bangladesh, Kemboja, Ecuador, El Salvador, Kesatuan Eropah, Guatemala, Indonesia, Jordan, Switzerland, Taiwan dan United Kingdom.

Menurut USTR, negara lain yang turut disiasat tetapi tidak termasuk dalam senarai berkenaan akan dikenakan tarif import sebanyak 12.5 peratus.

Agensi itu memaklumkan keputusan berkenaan dibuat selepas melengkapkan siasatan yang melibatkan dua sesi pendengaran awam, lebih 2,100 maklum balas awam serta libat urus dengan rakan dagang bagi menangani kebimbangan berhubung isu buruh paksa.

"Dah terlalu lama rakan dagang kami sepatutnya melaksanakan larangan import terhadap barangan yang dihasilkan melalui buruh paksa," kata Wakil Perdagangan Amerika Syarikat, Jamieson Greer.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved