Malaysia berdepan jurang tenaga mahir semikonduktor dengan hanya 21,000 dilatih berbanding sasaran 60,000 – MITI

LocalTechnology
7 Oct 2026 • 11:43 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Malaysia berdepan jurang tenaga mahir semikonduktor dengan hanya 21,000 dilatih berbanding sasaran 60,000 – MITI Image from: Malaysia berdepan jurang tenaga mahir semikonduktor dengan hanya 21,000 dilatih berbanding sasaran 60,000 – MITI liza07/10/2026 - 11:43 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 7 Okt – Malaysia berdepan jurang tenaga mahir dalam industri semikonduktor apabila hanya 21,391 bakat dilatih setakat Jun 2026 sedangkan negara menyasarkan 60,000 tenaga mahir bagi sektor itu menjelang 2030.

 

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata 21,391 bakat itu telah dilatih menerusi pelbagai program pembangunan kemahiran yang dilaksanakan institusi pengajian tinggi dan penyedia latihan teknikal.

 

Jumlah itu bermakna Malaysia masih perlu melatih hampir 40,000 lagi tenaga mahir dalam tempoh kira-kira tiga setengah tahun bagi mencapai sasaran 60,000 orang menjelang 2030.

 

MITI berkata, pembangunan bakat penting bagi memastikan tenaga kerja tempatan bergerak seiring dengan keperluan industri, selain meningkatkan kebolehpasaran graduan.

 

“Pada masa sama, usaha itu bertujuan meningkatkan keupayaan syarikat tempatan untuk menguasai teknologi dan membangunkan harta intelek (IP) sendiri.

 

“Pada akhir 2025, sebanyak 18,062 jurutera dan juruteknik tempatan telah dilatih, menunjukkan kira-kira 3,300 lagi bakat ditambah dalam tempoh enam bulan pertama 2026,” kata MITI dalam jawapan bertulis kepada Ahli Parlimen Kemaman, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

 

Industri perlukan kepakaran lebih tinggi

Cabaran pembangunan bakat menjadi lebih penting apabila Malaysia berusaha meningkatkan kedudukannya dalam rantaian industri semikonduktor global.

 

MITI berkata, kedudukan Malaysia ketika ini masih banyak tertumpu kepada aktiviti bahagian belakang seperti pengujian dan pembungkusan cip, yang mempunyai nilai tambah lebih rendah serta masih bergantung kepada teknologi dan harta intelek syarikat multinasional.

 

Menurut kementerian itu, menjadi lokasi pengeluaran utama tidak menjamin keupayaan kendiri negara dalam jangka panjang.

 

Kerajaan perlu kekalkan tenaga mahir

“Selain meningkatkan jumlah tenaga mahir, kerajaan turut berdepan cabaran mengekalkan bakat yang telah dilatih dalam industri tempatan.

 

“Oleh itu kerajaan akan memperkenalkan program latihan dan laluan kerjaya bagi mengurangkan penghijrahan tenaga mahir (brain drain) dalam sektor semikonduktor,” katanya.

 

Dalam usaha meningkatkan keupayaan tempatan, kerajaan turut menyokong Konsortium Pembungkusan Termaju Malaysia (Malaysia Advanced Packaging Consortium) yang melibatkan lima syarikat tempatan.

 

Program MyChipStart dan SemiconStart pula menyokong syarikat tempatan dalam bidang reka bentuk cip.

 

MITI turut memaklumkan bahawa 13 syarikat tempatan telah dikenal pasti sebagai calon di bawah sasaran “10+100”, yang bertujuan melahirkan lebih banyak syarikat tempatan berkeupayaan besar dalam industri semikonduktor.

 

Kerajaan juga sedang membangunkan mekanisme untuk memadankan pemilik harta intelek tempatan dengan pemain industri dan pelabur, selain memperkenalkan latihan serta laluan kerjaya bagi menangani penghijrahan tenaga mahir dalam sektor berkenaan. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved