Momentum pemulihan Top Glove berdepan cabaran kos gas dan tenaga kerja – Penganalisis

LocalBusiness & Finance
7 Oct 2026 • 10:11 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Momentum pemulihan Top Glove berdepan cabaran kos gas dan tenaga kerja – Penganalisis Image from: Momentum pemulihan Top Glove berdepan cabaran kos gas dan tenaga kerja – Penganalisis liza07/10/2026 - 10:11 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 7 Okt – Pemulihan Top Glove Corporation Berhad memasuki fasa lebih mencabar apabila peningkatan kos gas asli dan tenaga kerja bakal menguji kemampuan pengeluar sarung tangan itu mengekalkan margin yang telah pulih pada tahun kewangan 2026 (FY2026), kata penganalisis.

 

Antara cabaran utama ialah kenaikan harga gas asli sekitar 30% mulai Oktober 2026, kekangan tenaga kerja serta risiko margin kembali mendatar apabila kelebihan daripada kenaikan harga jualan berbanding kos bahan mentah mula berkurangan. 

 

Penganalisis berkata pada masa sama, jumlah jualan 4QFY2026 turut susut secara suku tahunan, menunjukkan pemulihan permintaan masih perlu dipantau.

 

Pada FY2026, pendapatan Top Glove meningkat sekitar 21% kepada RM4.2 bilion manakala keuntungan meningkat dengan ketara berikutan keadaan pasaran sarung tangan yang bertambah baik.

 

Prestasi itu turut mendorong penganalisis menaikkan unjuran masing-masing, walaupun pandangan terhadap saham berbeza.

 

MBSB Research mengekalkan saranan ‘Beli’ dengan harga sasaran RM1.13, TA Securities mengekalkan ‘Jual’ pada RM0.75, manakala PublicInvest Research mengekalkan ‘Underperform’ dengan harga sasaran dinaikkan kepada RM0.69 daripada RM0.59.

 

Prestasi FY2026 beri asas kepada pemulihan


MBSB Research melihat permintaan sarung tangan kini berkembang lebih pantas berbanding bekalan yang memberi ruang kepada pengeluar untuk membina semula margin.

 

“Jumlah jualan Top Glove meningkat hampir 30% pada FY2026, diterajui Amerika Utara sebanyak 28%, Asia 24% dan Eropah Timur 18%.

 

“Amerika Utara kekal sebagai pasaran terbesar, didorong antara lain tarif Amerika Syarikat terhadap sarung tangan dari China, pengisian semula inventori pascapandemik serta usaha pelanggan melindungi rantaian bekalan.

 

“Dari sudut kapasiti, Top Glove mengekalkan kapasiti terpasang pada 95 bilion keping, manakala kapasiti berjalan meningkat kepada 72 bilion keping pada FY2026 dan disasarkan mencapai 78 bilion keping pada FY2027,” kata MBSB Research dalam nota kajiannya.

 

Kos tenaga dan tenaga kerja jadi cabaran

Di sebalik peningkatan permintaan, kos operasi menjadi cabaran utama yang boleh mengehadkan pemulihan margin.

 

TA Research menjangkakan harga gas asli meningkat sekitar 30% mulai Oktober 2026, manakala PublicInvest menganggarkan kenaikan itu boleh meningkatkan kos setiap karton sebanyak 2% hingga 3%.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Pasaran sarung tangan pulih, untung Top Glove melonjak kepada RM308 juta pada FY26

 

MBSB Research pula mengenal pasti kekangan tenaga kerja sebagai risiko segera berikutan cabaran mendapatkan pekerja asing. Top Glove sedang menyusun semula tenaga kerja antara kilang, mendapatkan pekerja tempatan dan graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), selain meningkatkan automasi.

 

Syarikat turut mengambil langkah meningkatkan kecekapan penggunaan gas melalui kerjasama dengan pakar tenaga industri dan syarikat teknologi, termasuk penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan automasi pada penukar haba, pemulihan haba buangan serta naik taraf sistem penebat.

 

Unjuran keuntungan masih meningkat

Walaupun berdepan tekanan kos, ruang pertumbuhan keuntungan masih dilihat wujud.

 

TA Research menaikkan unjuran keuntungan bersih FY2027 dan FY2028 kepada masing-masing RM339.1 juta dan RM358.9 juta daripada RM183.1 juta dan RM197.9 juta sebelum ini.

 

Firma itu berkata pengurusan menjangkakan pertumbuhan keuntungan sekitar 10% pada FY2027, dengan margin keuntungan sebelum cukai yang mampan pada 8% hingga 12% apabila industri bergerak ke arah persekitaran operasi yang lebih rasional.

 

MBSB Research turut menaikkan unjuran keuntungan FY2027 dan FY2028 masing-masing sebanyak 29% dan 16%.

 

PublicInvest persoal kemampanan margin

PublicInvest lebih berhati-hati terhadap kemampuan Top Glove mengekalkan margin tinggi yang dicapai ketika ini.

 

Firma itu menjangkakan pemulihan keuntungan berterusan ke FY2027, tetapi margin EBITDA 4QFY2026 sebanyak 16.8% dijangka kembali mendatar sekitar 8% hingga 10% apabila manfaat daripada perbezaan masa antara harga dan kos berkurangan, selain kos operasi meningkat.

 

Jualan pada suku keempat juga susut dan situasi itu menunjukkan pemulihan masih perlu dinilai dari segi kemampuan Top Glove mengekalkan permintaan, penggunaan kapasiti dan kuasa penetapan harga dalam tempoh lebih panjang.

 

Kedudukan kewangan beri sokongan

Di sebalik tekanan kos, kedudukan kewangan Top Glove turut bertambah baik apabila syarikat berakhir FY2026 dengan tunai bersih RM141 juta berbanding hutang bersih RM267 juta setahun sebelumnya.

 

Top Glove turut mengisytiharkan dividen akhir 1.5 sen sesaham, dengan jumlah pembayaran dividen FY2026 bersamaan kira-kira 39% daripada keuntungan.

 

Secara keseluruhan, pemulihan Top Glove kini disokong permintaan yang lebih baik, ASP lebih tinggi, peningkatan penggunaan kapasiti dan kedudukan kewangan yang bertambah baik.

 

Namun, cabaran FY2027 adalah memastikan faktor-faktor tersebut mampu mengimbangi kenaikan kos gas dan tenaga kerja serta kemungkinan margin kembali mendatar apabila keadaan harga dan kos menjadi lebih normal.

 

Justeru, tumpuan terhadap Top Glove kini bukan lagi sekadar sama ada syarikat mampu pulih, tetapi sejauh mana pemulihan keuntungan dan margin itu dapat dikekalkan dalam keadaan kos operasi yang semakin tinggi. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved