Malaysia Berdepan Suhu Sehingga 40°C Jika Super El Niño Berlaku

LocalEnvironment
8 Sep 2026 • 7:42 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Malaysia Berdepan Suhu Sehingga 40°C Jika Super El Niño Berlaku

KUALA LUMPUR - Malaysia berkemungkinan berdepan suhu mencecah 40 darjah Selsius di beberapa kawasan antara Januari hingga Mei tahun depan sekiranya fenomena Super El Niño yang berpotensi mencatat rekod berlaku pada penghujung 2026.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memberi amaran, kebarangkalian fenomena itu berlaku kini menghampiri 100 peratus berdasarkan unjuran model iklim daripada pusat pemerhatian dan penyelidikan antarabangsa.

Ketua Pengarah MetMalaysia, Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata, rekod meteorologi sebelum ini menunjukkan episod El Niño yang sangat kuat sering dikaitkan dengan peningkatan suhu, cuaca kering berpanjangan serta risiko jerebu teruk.

“Pengalaman ketika episod Super El Niño pada 1997/1998 dan 2015/2016 menunjukkan suhu maksimum harian negara ketika itu lebih ekstrem berbanding tempoh lain.

“Pada masa itu, suhu tertinggi negara ialah 40.1 darjah Selsius yang direkodkan di Stesen Meteorologi Chuping, Perlis pada 9 April 1998 dan 39.3 darjah Selsius di Stesen Meteorologi Batu Embun, Jerantut, Pahang pada 10 April 2016,” katanya.

Mohd Hisham berkata, terdapat kira-kira 70 peratus kebarangkalian intensiti El Niño akan datang mengatasi mana-mana episod yang direkodkan sejak 1950.

Menurutnya, keadaan itu boleh menyebabkan kawasan utara dan pedalaman Semenanjung, selain kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak, merekodkan suhu lebih tinggi daripada biasa.

“Ia turut meningkatkan risiko cuaca panas dan gelombang haba bermula penghujung Monsun Timur Laut pada Januari sehingga Mei 2027.

“Berdasarkan unjuran terkini, terdapat kemungkinan lebih banyak stesen meteorologi di utara Semenanjung Malaysia merekodkan suhu sehingga 40 darjah Selsius ketika kemuncak musim panas antara Januari hingga Mei 2027,” katanya.

Beliau berkata, peningkatan suhu dan cuaca panas berpanjangan boleh meningkatkan risiko gelombang haba serta menjejaskan kesihatan awam, terutama kanak-kanak, warga emas dan individu yang melakukan aktiviti di luar.

“Pengurangan hujan dan tempoh kering yang lebih panjang boleh memberi tekanan kepada sumber air termasuk kawasan tadahan dan empangan, selain menjejaskan sektor pertanian serta industri lain yang sensitif terhadap kekurangan air.

“Keadaan panas dan kering berpanjangan juga menyebabkan tumbuh-tumbuhan lebih mudah terbakar, sekali gus meningkatkan risiko kebakaran hutan dan tanah gambut serta kejadian jerebu, sama ada di dalam negara atau merentasi sempadan,” katanya. - Getaran, 8 September 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved