Malaysia berjaya dapatkan semula RM31.3 bilion dana 1MDB yang diseleweng - Azam Baki

LocalPolitics
6 May 2026 • 12:04 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Malaysia berjaya dapatkan semula RM31.3 bilion dana 1MDB yang diseleweng - Azam Baki
Azam Baki. FOTO: SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya memperoleh semula aset daripada skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang diseleweng berjumlah kira-kira RM31.3 bilion.

Jumlah itu melibatkan 74.5 peratus daripada jumlah keseluruhan yang diseleweng, iaitu RM42 bilion.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata hari ini menandakan satu pencapaian dalam usaha berterusan SPRM untuk mendapatkan semula aset negara yang telah diseleweng melalui skandal 1MDB.

Menurutnya, usaha ini bukan sahaja mencerminkan komitmen teguh Kerajaan Malaysia, malah selaras dengan aspirasi Perdana Menteri untuk memastikan setiap aset yang hilang dapat dikesan dan dikembalikan kepada negara.

"Sehingga kini, berdasarkan data yang ada, jumlah keseluruhan dana 1MDB yang diseleweng ialah sebanyak RM42 bilion.

"Nilai keseluruhan aset yang berjaya diperoleh semula setakat tahun 2025 ialah RM31,301,717,268.56 (kira-kira RM31.3 bilion).

"Pecahan pemulihan aset mengikut tahun ialah RM1,155,381,001.99 (tahun 2019), RM14,257,701,636.31 (tahun 2020), RM5,117,828,963.99 (tahun 2021), RM400,386,825.68 (tahun 2022), RM8,088,157,675.09 (tahun 2023), RM715,954,391.27 (tahun 2024) dan RM1,566,306,774.23 (tahun 2025)," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya, pada Rabu.

Beliau berkata, setakat tahun 2025, Malaysia telah berjaya mendapatkan semula 74.5 peratus, iaitu hampir tiga perempat daripada RM42 bilion dana 1MDB yang diseleweng.

Katanya, kadar pemulihan aset 1MDB ini dianggap sebagai satu pencapaian signifikan dan telah mendapat pengiktirafan antarabangsa.

"Pencapaian ini melebihi anggaran awal sebanyak 70 peratus atau RM30 bilion yang dinyatakan dalam beberapa laporan.

"Kejayaan ini merupakan antara kadar pemulihan aset tertinggi di dunia bagi skandal jenayah kewangan berskala besar," ujarnya.