Malaysia berpeluang jadi hab semikonduktor global susulan larangan AS ke atas modul optik China - PublicInvest

LocalBusiness & Finance
7 Aug 2026 • 10:20 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Malaysia berpeluang jadi hab semikonduktor global susulan larangan AS ke atas modul optik China - PublicInvest Image from: Malaysia berpeluang jadi hab semikonduktor global susulan larangan AS ke atas modul optik China - PublicInvest amree07/08/2026 - 10:20 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 7 Ogos – Malaysia berpeluang muncul sebagai hab alternatif semikonduktor dan fotonik global jika Amerika Syarikat (AS) meneruskan cadangan melarang import modul optik keluaran China.

 

Menurut analisis Public Investment Bank (PublicInvest), langkah Suruhanjaya Komunikasi Persekutuan (FCC) AS tersebut turut mempercepatkan usaha peralihan rantaian bekalan teknologi ke negara ini.

 

Firma penyelidikan tersebut berkata, usaha itu dijangka mendorong banyak syarikat multinasional di China perlu memindahkan operasi pemasangan, ujian dan pembungkusan semikonduktor ke Malaysia.

 

 

 

 

 

"Kami berpandangan cabaran terbesar melibatkan syarikat AS masih bergantung kepada pembekal dari China kerana kekurangan alternatif yang mampu memenuhi permintaan luas pasaran global," jelasnya.

 

Justeru, PublicInvest mengekalkan saranan 'overweight' terhadap sektor teknologi dan penyusunan semula rantaian bekalan dijangka membuka peluang pertumbuhan baharu pula kepada syarikat Malaysia.

 

Ujarnya, modul optik kini menjadi komponen kritikal dalam pembangunan pusat data (DC) kecerdasan buatan (AI) kerana berfungsi menukarkan isyarat elektrik kepada isyarat optik bagi komunikasi.

 

sektor teknologi_DagangNews2026

 

Permintaan terus meningkat seiring pertumbuhan pesat DC AI di seluruh dunia, dengan teknologi generasi baharu menjadi pemacu utama kepada peningkatan kapasiti rangkaian berkelajuan tinggi.

 

"Pengeluar China masih mendominasi pasaran semikonduktor global termasuk mengukuhkan kedudukan menerusi hubungan rapat dengan penyedia perkhidmatan awan utama di AS sendiri," kata PublicInvest.

 

Secara keseluruhan jelas firma itu, pengeluar China seperti Innolight, Eoptolink, Accelink dan Source Photonics berjaya membekalkan hampir dua pertiga daripada jumlah unit modul optik dunia.

 

Dalam konteks Malaysia, ia melihat peluang besar syarikat tempatan meluaskan kapasiti pemasangan, ujian dan pembungkusan semikonduktor apabila banyak pengeluar teknologi global memindahkan lokasi.

 

 

 

 

PublicInvest menyenaraikan Inari Amertron Berhad, NationGate Holdings Berhad dan EG Industries Berhad sebagai antara syarikat yang dijangka menerima limpahan manfaat daripada sekatan oleh AS itu.

 

"Kami berpandangan perubahan landskap perdagangan teknologi global itu mampu memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pilihan pelaburan berteknologi tinggi," katanya. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved