amree31/07/2026 - 09:50 KEBAKARAN yang berlaku ke atas Wisma Kemajuan diuruskan Axis REIT baru-baru ini. - Gambar media sosial Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 31 Julai — Penggantungan kutipan sewa di Wisma Kemajuan, Petaling Jaya, Selangor yang sebahagiannya rosak akibat kebakaran baru-baru ini terus menekan prestasi kewangan Axis REIT.
Bagaimanapun, penganalisis melihat tekanan daripada peristiwa berkenaan hanya bersifat sementara dengan proses pemulihan dijangka dapat bermula pada separuh kedua tahun kewangan 2026 (2HFY26).
Menurut MBSB Research, pendapatan teras kumpulan itu bagi separuh pertama FY26 (1HFY26) berjumlah RM96.9 juta, dengan prestasi itu masih memenuhi jangkaan masing-masing dan prospek jangka positif.
"Axis REIT itu turut mengumumkan agihan pendapatan (DPU) sebanyak 2.3 sen bagi tempoh suku kedua, menjadikan jumlah pulangan kepada 4.8 sen bagi enam bulan pertama FY26," jelas firma tersebut.
Kelemahan prestasi disebabkan tamat penyewaan di Axis Shah Alam Distribution Centre 3 sehingga kadar penghunian merosot kepada 49%, selain penggantungan sewaan Wisma Kemajuan susulan kebakaran.
Penyewa baharu ujar MBSB Research, namun sudah ada dan kadar penghunian dijangka naik kepada 71% pada suku ketiga FY26, manakala prestasi wisma itu diunjur pulih balik disokong tuntutan insurans.

Firma itu juga positif terhadap pemerolehan kompleks perindustrian pegangan bebas di Padang Meha, Kedah bernilai RM113 juta, yang disifatkan mampu meningkatkan pulangan tinggi kasar sekitar 6.6%.
"Ini lebih tinggi daripada kos pembiayaan iaitu 4%, dan kami masih mengekalkan saranan 'beli' ke atas Axis REIT dengan menaikkan harga sasaran (TP) kepada RM2.18 daripada RM2.17," tambahnya.
RHB Research turut mengekalkan saranan 'beli' dengan TP RM2.44 sesaham, berdasarkan keyakinan terhadap pembangunan aset bernilai kira-kira RM456 juta, selain pemulihan kadar penghunian.
Katanya, kelemahan keputusan kewangan 1HFY26 berpunca daripada faktor sementara melibatkan tamat tempoh penyewaan beberapa aset serta insiden kebakaran di Wisma Kemajuan yang dijangka pulih.
Ia turut melihat pemerolehan aset di Padang Meha sebagai langkah strategik mengukuhkan kehadiran Axis REIT di wilayah utara, yang akan dipajak semula kepada penjual selama tempoh enam tahun.
"Kami berpandangan prospek kekal positif berikutan pemulihan kadar penghunian, pengembangan portfolio aset perindustrian serta aliran hasil yang lebih stabil mulai FY27," kata RHB Research.
Sehubungan itu, syarikat hanya masih berdepan dengan cabaran jangka pendek daripada isu penyewaan dan pemulihan aset yang terjejas akibat kebakaran di Wisma Kemajuan. - DagangNews.com





