Malaysia berpeluang kurangkan kadar tarif AS kepada antara 15%-19%, kata Apex Securities

LocalBusiness & Finance
17 Jul 2025 • 3:13 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Malaysia berpeluang kurangkan kadar tarif AS kepada antara 15%-19%, kata Apex Securities

image is not available

17/07/2025 - 15:13

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 17 Julai - Malaysia berpeluang mengurangkan tarif akhir Amerika Syarikat (AS) kepada antara 15% hingga 19% daripada kadar semasa 25% sekiranya mencapai perjanjian perdagangan yang dipersetujui bersama, kata Apex Securities.

Katanya, perjanjian perdagangan antara AS dan Indonesia baru-baru ini, yang menyaksikan pengurangan tarif kepada 19% daripada 32%, merupakan petanda yang memberangsangkan bagi Malaysia, menyokong pandangan Washington masih terbuka kepada rundingan sekiranya konsesi yang bermakna ditawarkan.

Firma penyelidikan itu berkata, Laporan Anggaran Perdagangan Nasional 2025 oleh Wakil Perdagangan AS mengenal pasti beberapa halangan struktur dalam perdagangan dan pelaburan di Malaysia, dasar kabotaj muncul sebagai bidang yang paling berkemungkinan untuk diubah.

“Kami menjangkakan, Malaysia mungkin menawarkan rangka kerja bagi pengecualian kekal terhadap kapal asing yang terlibat dalam kerja-kerja pembaikan kabel dasar laut di perairan Malaysia,” katanya dalam satu nota kajian.

Apex Securities berkata, walaupun sektor seperti logistik dan pembinaan mungkin mengalami liberalisasi secara separa, industri yang lebih strategik seperti minyak dan gas, telekomunikasi dan kewangan berkemungkinan besar tidak akan diliberalisasikan atas faktor kedaulatan dan keselamatan negara.

“Bagi sektor automotif, liberalisasi penuh tidak mungkin berlaku. Namun, pengurangan tarif secara terpilih bagi kenderaan buatan AS mungkin ditawarkan sebagai pertukaran dalam rundingan perdagangan,” katanya.

Bagi perolehan kerajaan dan pensijilan halal, Apex Securities juga tidak menjangkakan sebarang perubahan pendirian, memandangkan dasar Bumiputera Malaysia adalah isu sensitif dari segi politik dan secara meluas dianggap sebagai tidak boleh dirunding.

“Konsesi yang paling munasabah mungkin melibatkan penyeragaman proses pensijilan bagi memudahkan import daging dari AS,” katanya.

Firma penyelidikan itu berkata, memandangkan kuasa rundingan yang terhad, Malaysia mungkin perlu beralih kepada meningkatkan import barangan dari AS seperti gas asli cecair (LNG), komoditi pertanian seperti jagung dan kacang soya, pesawat Boeing, atau mungkin aset pertahanan.

“Kerjasama dalam sektor baharu seperti teknologi nuklear atau reaktor modular kecil adalah berkemungkinan, namun terhad oleh kos modal yang tinggi,” katanya.

Katanya, sekiranya senario asas menjadi kenyataan, di mana tarif dikurangkan kepada 15% hingga 19%, hasilnya akan membantu mengekalkan daya saing eksport Malaysia dan mengekalkan kestabilan makroekonomi, yang membawa kepada unjuran pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebanyak 4.1% hingga 4.2% pada tahun 2025.

Walaupun terdapat risiko dalam jangka masa pendek, Apex Securities percaya, asas ekonomi Malaysia kekal kukuh memandangkan peranannya yang penting dalam sektor semikonduktor global serta kelebihan daya saing serantau, kerana negara-negara ASEAN lain seperti Thailand dan Kemboja telah dikenakan tarif sebanyak 36%.

“Tetapi cabaran yang lebih besar terletak pada 2026 dan seterusnya, apabila ketegangan tarif yang berlaku secara berkala dan tidak menentu oleh AS menjadi kebiasaan baharu,” katanya sebagai peringatan.- DagangNews.com

featured standard