Perbelanjaan kerajaan melebihi had, Malaysia berkemungkinan gagal capai sasaran belanjawan tahun ini - BMI

17/07/2025 - 15:49
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 17 Julai - Malaysia berkemungkinan besar gagal mencapai sasaran pengurangan defisit fiskalnya kerana perbelanjaan kerajaan dijangka sekali lagi melebihi belanjawan, manakala hasil mungkin tidak mencapai jangkaan, menurut BMI.
Katanya, jurang belanjawan sebagai peratusan kepada keluaran ekonomi, dijangka hanya menyusut secara marginal kepada 4.0% pada tahun 2025, lebih luas berbanding unjuran 3.8% untuk tahun tersebut, berbanding 4.1% pada 2024.
Firma penyelidikan itu berkata, ia akan menyebabkan kelewatan dalam matlamat jangka sederhana Malaysia untuk mengecilkan defisit kepada 3.0% menjelang 2028.
“Aktiviti ekonomi yang suram akan mengehadkan kutipan cukai,” kata BMI dan memberi amaran, anggaran kerajaan bahawa harga minyak mentah akan berada antara AS$75 hingga AS$80 setong pada 2025 “mungkin terlalu optimis”.
Pertumbuhan ekonomi Malaysia perlahan selama tiga suku tahun berturut-turut, mencatatkan pertumbuhan 4.4% tahun ke tahun bagi tiga bulan pertama 2025.
Pembuat dasar Malaysia juga menyatakan, mereka mungkin akan menyemak semula unjuran pertumbuhan awal sebanyak 4.5%-5.5% disebabkan oleh risiko tarif dari Amerika Syarikat (AS).
BMI berkata, harga minyak pula telah menyusut daripada AS$75 pada akhir 2024, dengan purata AS$69.90 setong dalam enam bulan pertama 2025 berikutan kebimbangan terhadap permintaan global.
Malaysia bergantung kepada hasil petroleum untuk sebahagian besar pendapatan kerajaan.
“Kami menjangkakan pembuat dasar akan berbelanja melebihi perancangan pada 2025, seperti yang berlaku secara konsisten dalam beberapa tahun kebelakangan ini,” katanya.
Selain itu, maklumat terperinci mengenai rasionalisasi subsidi RON95 — yang merupakan komponen utama dalam pengurangan perbelanjaan — masih tidak mencukupi, dan peningkatan tarif elektrik boleh memberi tekanan tambahan kepada kewangan awam, menurut firma penyelidikan itu.
“Walaupun pelarasan tersebut mungkin tidak menjejaskan kebanyakan isi rumah tetapi sistem pemindahan kos di Malaysia berkemungkinan menambah tekanan terhadap kerajaan untuk terus memberi subsidi kos utiliti melebihi peruntukan sebanyak RM6 bilion pada separuh pertama 2025," katanya.
Firma penyelidikan itu berkata, sebarang pengurangan subsidi akan membantu menurunkan perbelanjaan mengurus kerajaan yang pada masa ini dibiayai melalui hasil.
Di bawah peraturan fiskal Malaysia, sebarang pinjaman kerajaan untuk menampung defisit bajet hanya boleh digunakan bagi membiayai perbelanjaan pembangunan.
"Kami menjangkakan hutang awam akan terus meningkat dalam beberapa tahun akan datang.
“Bagaimanapun, lebih 97% daripada jumlah hutang adalah dalam bentuk sekuriti yang didenominasikan dalam ringgit, maka risiko ketidakpadanan mata wang adalah minimum," katanya.- DagangNews.com
featured standard


